Menteri Penuh dan Menteri Muda baharu angkat sumpah petang tadi

KUCHING: Dua menteri penuh dan dua menteri muda dalam kabinet baharu Sarawak yang diumum semalam mengangkat sumpah jawatan di Astana Negeri petang tadi.

Majlis yang bermula pada jam 2.30 petang didahului oleh Datuk Talib Zulpilip sebagai Menteri di Pejabat Ketua Menteri  yang bertanggungjawab terhadap integriti dan hisbah.

Ia kemudian diikuti Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah sebagai Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan.

Turut mengangkat sumpah, Ahli Dewan Undangan Negeri Balai Ringin, Snowdan Lawan sebagai Menteri Muda Belia dan Sukan sebelum Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri, Abdullah Saidol yang dilantik Menteri Muda Hal-Ehwal Korporat.

Upacara tersebut disempurnakan di hadapan Yang di-Pertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud dan disaksikan Ketua Menteri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg.

Dalam rombakan semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Bukit Sari, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri Sarawak.

Abdul Karim ketika ditemui berkata, pelantikan itu dianggap sebagai satu amanah untuk ummah dan negeri Sarawak yang dicintainya.

“Menerusi portfolio baharu itu, beliau akan berusaha untuk meningkatkan penglibatan rakyat dalam sukan selain menjadikan sukan sebagai satu tarikan untuk pelancongan.

“Kita ada pelancongan kesihatan, pelancongan eko… justeru sukan boleh dianggap sebagai satu bentuk pelancongan juga,” katanya lagi.

Bagi Datuk Talib Zulpilip, tugas baharu menangani integriti dan hisbah ini adalah satu cabaran biarpun konflik integriti tidak akan dapat ditangani sepenuhnya.

“Yang penting, kita akan mencari formula dan usaha agar pendekatan dalam sistem pentadbiran negeri dilaksanakan dengan jujur, dan tugas-tugas dijalankan dengan betul.

Bagi Menteri Muda Belia dan Sukan, Snowdan Lawan, beliau amat teruja ruang dan peluang yang diberi.

“Saya akan berbincang dengan Datuk Abdul Karim bagaimana untuk membantu meningkatkan mutu belia dan sukan di negeri ini.

“Tentunya, tumpuan selepas ini adalah untuk membantu menjadikan Sarawak sebagai sebuah kuasa sukan di rantau ini,” jelasnya lagi.

Menteri Muda Hal-Ehwal Korporat, Abdullah Saidol turut gembira dengan galas tugas baharu itu.

“Ia jawatan yang baharu diwujudkan. Kalau diperhatikan dalam 100 hari pertama, Ketua Menteri telah membuat beberapa pengumuman tentang keinginan dan hasrat beliau, serta agenda dan polisi tentang struktur ekonomi, bukan hanya ekonomi digital.

Kerana itu, katanya beliau akan berusaha untuk melihat cara-cara lain, terutama untuk menambah pendapatan negeri, dan meningkatkan perolehan perbendaharaan.

“Ia sesuai dengan pengalaman saya sebagai pemain korporat sebelum terlibat dalam politik,” jelasnya lagi.

Abdullah memberi jaminan bahawa beliau akan berusaha dengan kesungguhan, kerajinan dan keberanian dalam melaksanakan tugas baharunya itu. – Sarawakvoice