L Krishnan mencari gulungan filem ‘Bakti’ yang ghaib  menerusi tajaan RM100 ribu Tun Taib

KUCHING: Usaha sedang giat dijalankan untuk mencari sebuah filem lakonan P. Ramlee yang ghaib daripada simpanan.

Menurut pengarah veteran, Tan Sri L Krishnan, pihaknya akan berkunjung ke Hong Kong bagi berjumpa pengusaha makmal filem, yang sebelum ini menjayakan pembikinan filem berjudul ‘Bakti’.

Tan Sri L Krishnan

“Ia filem pertama arahan saya dengan P. Ramlee dan kehilangan satu-satunya rekod simpanan ini daripada simpanan Malay Film Productions Ltd (MPF) amat menyedihkan,” katanya ketika berucap sewaktu penerimaan Anugerah Pencapain Sepanjang Hayat Aiffa 2017.

Ia merupakan anugerah ketiga seumpamanya dalam Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa Asean (Aiffa) selepas Datuk Michele Yeoh pada 2013 dan aktres legenda Filipina Nora Aunor pada 2015.

Katanya lagi, peminat nombor satu Tan Sri P. Ramlee, Tun Abdul Taib Mahmud sanggup membayar sehingga RM100 ribu untuk menjayakan misi tersebut.

Selain P. Ramlee, filem yang ditulis dan diarahkan oleh L. Krishnan ini turut dijayakan Kasma Booty, S. Roomai Noor dan Siput Sarawak.

Skor muziknya dijayakan oleh Osman Ahmad dan mula ditayangkan pada
4 April 1950. – Sarawakvoice