Korea Utara tuduh cubaan CIA, IS bunuh Jong-un umpama isytihar perang

PYONGYANG: Kerajaan Korea Utara mendakwa menyediakan persiapan bagi membalas cubaan membunuh Pemimpin Tertinggi negara tersebut, Kim Jong-un.

Korea Utara sebelum ini menuduh Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA) dengan kerjasama Perisikan Korea Selatan (IS) cuba membunuh diktator muda itu melalui serangan kimia.

Korean Central News Agency (KCNA) mengeluarkan maklumat Kementerian Pertahanan Korea Utara bahawa serangan cubaan membunuh Jong-un dilancarkan pada 15 April lepas berjaya digagalkan.

Ketika itu, negara tersebut merayakan Hari Matahari, ulang tahun memperingati pengasas Korea Utara semasa berlangsungnya perbarisan tentera di Pyongyang.

IBTimes melaporkan semula laporan berkenaan pada Sabtu lepas: “iblis pembunuh bersekongkol dengan CIA merekrut warga Korea Utara keluarga Kim, pekerja kilang kayu di Khabarovsk Rusia pada Jun 2014.”

“(CIA) mengubahnya menjadi teroris yang penuh kebencian membalas dendam terhadap pemimpin tertinggi Korea Utara,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan rasmi itu menyebut serangan kimia berkenaan menggunakan biokimia termasuk radioaktif beracun nano.

Pembunuh yang dirancang melakukan perbuatan itu dikatakan dibayar lebih RM45,000 (AS$10,000).

Ekoran itu, Korea Utara tegas mengumumkan mahu melancar serangan antiteroris gaya Korea menyingkir organisasi berkaitan perisikan CIA termasuk IS serta plot imperialis AS dik Semenanjung Korea.

Kore Utara menyifatkan cubaan membunuh Jong-un merupakan pengisytiharan perang di pihak musuh paling nyata. – Sarawakvoice