Karnival Go Belia Sarawak serlah potensi modal insan Bumi Kenyalang

KUCHING: Penganjuran “Karnival Go Belia Sarawak!” mampu menyerlahkan potensi modal insan inovatif di negeri ini, selain menyuburkan semangat kekitaan di kalangan belia sebagai aset negara.

Karnival dua hari anjuran JBS, Kementerian Belia dan Sukan Sarawak (KBSS) dan Institut Wasatiyyah Malaysia (IWM) bermula Jumaat membawa banyak acara bermanfaat.

Bagi Datuk Bandar Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai, bersama-sama kerajaan, pergerakan kalangan belia dari pelbagai latar belakang ini mampu memberi impak mencorakkan hala tuju negara.

Sempena karnival, Abdul Wahap menyampaikan Anugerah Belia Negeri Sarawak 2017 kepada Persatuan Kebajikan Pelajar Islam Sarawak (Perkepis) yang merangkul johan kategori Pertubuhan Belia.

Perkepis memenangi RM10,000, cenderahati dan sijil penghargaan.

Naib johan kategori Pertubuhan Belia dimenangi Persatuan Belia Warisan Kenyalang, menerima wang tunai RM5,000, cenderahati dan sijil penghargaan.

Bagi kategori Kepimpinan Beliawan dimenangi oleh Iszuan Haroni, sementara Kepimpinan Beliawanis dimenangi Yuniza Yusop.

Masing-masing pemenang mendapat RM3,000, cenderahati dan sijil penghargaan.

Berucap pada majlis perasmian Karnival Go, Belia Sarawak! dan penyampaian Anugerah Belia Negeri Sarawak di Kompleks Belia dan Sukan pada Sabtu, Abdul Wahap berharap Anugerah Belia yang disampaikan dapat menjadi pemberi semangat serta mengiktiraf sumbangan belia ini.

Interaksi antara belia dapat berkongsi pelbagai pengalaman dan ilmu semasa mengadakan bengkel, latihan, kursus, kerjasama dan sebagainya.

Bakat pelbagai bidang termasuk kesenian, teknologi, sukan, keusahawanan dan sebagainya dapat dikongsi sesama belia.

Abdul Wahap berkata, Jabatan Belia dan Sukan (JBS) negeri sentiasa berusaha meningkatkan kualiti belia dari pelbagai aspek.

Bahkan, kerjasama semua agensi dan jabatan kerajaan berkaitan belia dan NGO penting membangunkan golongan belia di negeri ini. – Sarawakvoice