Ip Man 4 mulai penggambaran pada Mac, Donnie tidak tolak cadang Sarawak sebagai lokasi

KUCHING: Peminat filem aksi ‘Ip Man’ akan menyaksikan sekuel keempat filem itu yang akan memulakan penggambaran pada Mac tahun depan.

Aktor yang memegang teraju utamanya, Donnie Yen berkata perbincangan mengenai hala tuju filem itu telah pun dimuktamadkan dengan pengarahnya Wilson Yip.

“Saya telah terlibat dalam bacaan pertama skrip tersebut, tetapi tidak adil untuk saya mendedahkan lanjut mengenainya,” katanya lagi yang amat fasih berbahasa Inggeris.

Beliau juga tidak menolak untuk mencadangkan Sarawak sebagai lokasi penggambaran filem tersebut, jika ia bersesuaian, tambahnya ketika menjawab soalan pihak media.

Donnie, 53 tahun berada di sini sempena Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa Asean (Aiffa) 2017.

Pelakon ‘Rouge One: A Star Wars Story’ itu juga turut mengadakan sesi bertemu lebih dua ribu peminatnya sejurus selepas itu.

Hadir sama Menteri Muda Pelancongan, Datuk Lee Kim Shin, Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan, Datu Ik Pahon Joyik dan Pengarah Festival Aiffa, Livan Tajang.

Pelakon “Crouching Tiger Hidden Dragon” dan “Once Upon A Time In China II” itu juga melahirkan bangga diundang menyertai Aiffa dan menganggap Kuching sebagai bandar raya yang indah dan menarik.

Ditanya tentang penglibatannya sebagai pemegang watak sebagai Chirrut Imwe dalam sekuel ‘Star Wars: Rogue One’, Donnie mengaku teruja dengan peluang yang diberikan.

“Ia peluang sekali seumur hidup dan semua pihak mahu terlibat dalam projek Starwars,” jelasnya yang amat meminati durian.

Donnie turut memberi motivasi kepada anak muda Sarawak yang berminat dalam dunia perfileman.

“Lakukan. Jangan fikir banyak. Berlakon dan buatlah filem, kerana pada hari ini teknologi semakin canggih. Kita boleh lakukannya hanya melalui telefon bimbit,” jelasnya lagi.

Juara wushu yang hanya belajar seni Wing Chun enam bulan sebelum melakonkan watak Ip Man ini mengakui darah seni mempertahankan diri sememangnya tebal dalam dirinya.

“Ia tidak dapat dipisahkan terutama selepas lebih 30 tahun saya mengabdikan diri dalam perfileman,” akuinya lagi.

Donnie dijangka menerima penghargaan pada Malam Gala Aiffa 2017 yang berlangsung malam tadi.

Bintang lain yang pernah menerima anugerah dalam festival ini ialah Datuk Michael Yeoh dan Datuk Jackie Chan. – Sarawakvoice