Hukum berat, tumpaskan penganjur skim pelaburan haram

KUALA LUMPUR: Sindiket skim pelaburan haram bagaikan virus yang sukar dicegah.

Malah kegiatan ini dikatakan tidak sekadar beroperasi di bandar, tetapi turut menular hampir ke seluruh kawasan luar bandar.

Ahli Parlimen Selayang, William Leong menggesa Bank Negara Malaysia (BNM) menguat kuasa tegas undang-undang terhadap penganjur skim pelaburan haram.

Memetik Malaysiakini, Leong mempersoalkan, adakah undang-undang sedia ada tidak banyak membantu pihak berkuasa bertindak menumpaskan jenayah ini?

Leong menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya menyertai skim menjanjikan pulangan, kadar faedah dan keuntungan tinggi yang tidak munasabah ini.

Leong percaya, isu seperti ini membantut Malaysia menjadi negara hebat dan mahu BNM sentiasa mengemas kini senarai skim pelaburan haram memudahkan orang ramai merujuknya.

Sebelum ini, Gabenor BNM, Datuk Muhammad Ibrahim menggesa orang ramai lebih peka terhadap sebarang bentuk skim kewangan yang menjanjikan pulangan tahunan melebihi 5 hingga 6 peratus.

Muhammad meminta orang ramai agar tidak  semata-mata bergantung kepada pihak berkuasa membendung skim pelaburan haram ini, sebaliknya mereka sendiri perlu sama berperanan menyelamatkan wang daripada menjadi mangsa penipuan pelaburan palsu ini.

Sebelum ini, beberapa skim kewangan yang tersenarai hitam oleh pihak berkuasa menawarkan pulangan keuntungan sehingga 20 peratus bagi menarik penyertaan orang ramai.

Operasi pelaburan palsu ini menggunakan taktik mengemukakan perniagaan menguntungkan seperti pelaburan emas, pertukaran mata wang asing (forex), malah menggunakan ibadah umrah atau haji sebagai pancingan.

Muhammad turut meminta pihak bank menutup akaun tertentu yang pergerakan kewangannya meragukan.

Beliau turut meminta pihak bank memaklumkan kepada BNM agar siasatan segera dapat dilakukan.

Dalam isu terbaru skim pelaburan JJ Poor to Rich (JJPTR), media melaporkan berpuluh-puluh ribu pelabur dari seluruh dunia, termasuk Kanada, Amerika Syarikat dan China berdepan kerugian RM500 juta selepas JJPTR dilaporkan gulung tikar.

JJPTR merupakan antara 288 syarikat pelaburan tidak berdaftar yang direkodkan dalam Senarai Peringatan Pengguna Kewangan BNM. – Sarawakvoice