Facebook cecah 2 bilion pengguna, diramal raih RM157 bilion 2017

SAN FRANCISCO: Rabu minggu lepas, Facebook mengumumkan penggunanya kini mencecah hampir 2 bilion meningkat 17 peratus.

Sementara, media sosial itu mendakwa mengaut keuntungan sekitar AS$3 bilion (RM13 bilion) daripada pendapatan keseluruhan AS$8.03 bilion (RM34 bilion) pada suku tahun pertama tahun ini.

Ia mencatat kenaikan 76 peratus berbanding 49 peratus tempoh sama 2016.

Pengasas Facebook, Mark Zuckerberg dalam kenyataannya berbangga dengan permulaan baik itu untuk 2017.

Facebook menurutnya terus sedia membina platform menyokong komuniti global yang kukuh.

Bagaimanapun, dari satu segi, saham syarikat itu jatuh 2.45 peratus kepada AS$148.08 (RM642) seunit selepas pengumuman perolehan.

Kini, Facebook sedia menambah lebih 3,000 staf baharu yang berfungsi mengawal selia serta menyingkirkan bahan berunsur ganas seperti pembunuhan kejam dan bunuh diri yang disiarkan menerusi platform video.

Ia usaha proaktif Facebook menapis kandungan selepas dikritik di peringkat global berkaitan dakwaan penglibatan Facebook menyebar aktiviti keganasan dan kebencian.

Menurut AFP, firma eMarketer meramalkan Facebook meraih AS$36.29 bilion (RM157 bilion) tahun ini, meningkat 35 peratus berbanding 2016.

Iklan dunia digital masih dikuasai Google 33 peratus dan Facebook dijangka meraih separuh daripada Google iaitu sekitar 16 peratus. – Sarawakvoice