Akhirnya, ibu tunggal miliki rumah sendiri selepas 20 tahun menyewa

JASIN: Pelbagai pengalaman suka dan duka ketika menyewa rumah selama 20 tahun membuatkan Marziah Saharuddin, 49, seorang ibu tunggal nekad untuk memohon Projek Perumahan Rakyat (PPR) Tehel Jasin yang dibina oleh kerajaan.

Keadaan rumah sewa yang kurang selesa, ruang yang sempit dan rumah yang tidak terurus membuatkan beliau berusaha untuk memiliki rumah sendiri memandangkan tiga anaknya yang semakin dewasa.

“Saya sebelum ini menyewa selama 20 tahun dengan keadaan rumah sempit, bilik dua sahaja. Harga menyewa sekarang pun makin mahalkan, syukur dapat rumah sendiri. Memang ada niat untuk beli rumah tapi saya tidak mampu untuk beli.

“Sangat berterima kasih kepada kerajaan terutamanya kerajaan negeri Melaka sebab berusaha untuk kami golongan berpendapatan rendah ini memilik rumah. Sangat menyenangkan kami sekeluarga dengan memiliki ruamh sendiri.

“Keadaan sebelum ini amat teruk dengan rumah yang sempat dan anak-anak pula semakin membesar, membuatkan saya berusaha untuk mendapatkan rumah sendiri,” katanya ketika menerima rumah PPR daripada kerajaan Barisan Nasional (BN).

Marziah antara 500 individu yang menerima rumah PPR yang disediakan kerajaan negeri Melaka dibawah projek Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Ia dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam lawatan sehari ke negeri itu. Nada sama turut dikongsikan Shahrin Garip, 40 yang turut menyewa rumah di pinggir bandar Jasin. Pengalaman selama lapan tahun menyewa di sebuah rumah yang sempit dan kurang selesa membuatkan perasaan untuk memiliki rumah sendiri semakin membuak-buak.

“Saya amat berterima kasih kepada kerajaan dan bersyukur kerana dapat rumah ini, sebab sebelum ini saya menyewa selama 8 tahun. Rumah yang disewa itu sempit membuatkan kami tidak selesa. Saya pun sudah punya anak dan keinginan untuk mendapat rumah yang selesa ini tercapai apabila mendapat rumah PPR.

“Saya diberi peluang untuk memohon rumah PPR ini oleh kerajaan negeri. Amat berterima kasih kepada kerajaan kerana memberikan kami rumah yang jauh lebih selesa,” katanya setelah mendapat kunci rumah PPR daripada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Menurut Selah Lechumanan 48, pengalaman tiada tempat berteduh ekoran kesempitan wang membuatkan beliau dan keluarga memohon rumah PPR ini demi menjamin masa depan yang lebih selesa buat mereka sekeluarga.

Cabaran bergelar ibu tunggal pada ketika ini bukan mudah apabila kos kehidupan semakin meningkat selain tuntutan-tuntutan dan keperluan-keperluan lain yang mendesak terutama jika melibatkan aspek pendidikan dan kesihatan.

“Saya gembira kerana dapat rumah ini kerana saya sudah menyewa di tiga tempat, semuanya tidak sesuai dan ada pemilik yang memgambil semula rumah mereka yang membuatkan saya dan keluarga saya berada dalam keadaan yang amat sukar kerana tidak ada tempat berteduh.

“Saya seorang ibu tunggal kepada tiga anak, rumah amat penting buat kami dan keluarga. Rezeki kami dapat rumah ini. Saya amat berterima kasih kepada kerajaan,” kata Selah.