Tragedi bot karam di Kampung Paloh Kabong, seorang masih hilang

KABONG: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang digerakkan oleh pasukan bomba, Rela, polis dan 50 penduduk kampung bagi mencari mangsa yang masih hilang akibat kejadian bot karam di muara Sungai Kampung Paloh di sini setakat ini belum membuahkan hasil sehingga operasi dihentikan sementara jam 6.30 petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok, Kho Boo Jang yang ditemui memberitahu operasi mencari dihentikan sementara ekoran keadaan yang sudah mula gelap dan operasi akan diteruskan semula awal pagi esok.

Menurut Khoo, sepanjang berlangsung operasi SAR pihaknya melakukan gerakan mencari mangsa di sekitar perairan kawasan kejadian.

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira-kira jam 12.40 tengah hari tadi, sebuah bot yang sarat dengan muatan air minuman bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang turut membawa bersama 12 penduduk kampung karam dipukul ombak.

Beberapa penumpang lain berjaya menyelamatkan diri ketika kejadian. Mangsa yang hilang bagaimanapun dikatakan telah turut sama berjaya menyelamatkan diri dengan berpaut pada kotak plastik (bekas untuk menyimpan ikan).

Namun mangsa terlepas pegangan daripada kotak berkenaan akibat rempuhan arus dan ombak lalu tenggelam.

Menurut penumpang bot lain yang menyaksikan kejadian, mangsa mula-mula dapat berenang dengan berpaut pada kotak tersebut.

Adik mangsa yang turut bersama semasa kejadian telah terjun dan berenang bagi menyelamatkan mangsa yang masih terkapai-kapai dibawa arus.

Bagaimanapun, belum pun adiknya sempat menyambar tangan mangsa, mangsa tenggelam dibawa arus dalam keadaan laut yang agak bergelombang pada ketika itu.

Mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Abang Madehan Abang Awi berusia 43 tahun.

Mangsa ketika kejadian duduk di bahagian paling hadapan di dalam bot dan menggunakan seluar getah ( track suit).

Mangsa yang masih bujang juga dikatakan pandai berenang dan memang seorang nelayan yang kerap turun ke laut. – Sarawakvoice

Bot yang karam
Operasi mencari mangsa di perairan Kampung Paloh
Operasi mencari…

Mangsa yang hilang: Abang Madehan Abang Awi,43 tahun.
Penduduk terlibat mencari