Tolak dakyah pembangkang Malaysia negara gagal

MELAKA: Bertujuan menyediakan kemudahan rawatan pemulihan secara komprehensif merangkumi aspek fizikal dan vokasional kepada pencarum yang mengalami kecederaan di tempat kerja, Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dibina bagi memberikan peluang kedua kepada golongan ini untuk meneruskan kehidupan masing-masing.

Dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, ia untuk memulihkan mereka dari segi fizikal, mental, rohani serta melengkapkan mereka dengan kemahiran yang diperlukan untuk menyertai semula alam pekerjaan.

“Pusat yang bernilai RM238 juta ini adalah satu-satunya pusat rehabilitasi di Malaysia dan rantau Asia Tenggara yang mengintegrasikan rehabilitasi perubatan dan vokasional.

“Pendekatan rehabilitasi seperti ini yang menawarkan perkhidmatan pemulihan pelbagai disiplin dapat mengoptimumkan tahap pemulihan pesakit agar mereka kembali bekerja dengan cepat, menjana pendapatan dan tidak jatuh dalam lembah kemiskinan akibat tiada pekerjaan,” katanya ketika merasmikan Pusat Rehabilitasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Richard Riot Jaem dan ditemani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Malaysia, Datuk Seri Zainal Rahim Seman serta Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Pusat yang didirikan di atas tanah berkeluasan 22.3 hektar ini telah menerima pelbagai anugerah antarabangsa antaranya Anugerah Keseluruhan bagi sesi penganugerahan Academy Award for Salutogenic Design 2015 yang telah berlangsung pada 11th World Congress on Design & Health 2015, Hong Kong.

“Pusat ini melenyapkan gambaran palsu pihak tertentu bahawa Malaysia bankrap. Mana nak bankrap tuan-tuan kalau ada pusat rehabilitasi sebegini. Banyak lagi pembangunan yang akan dirancang,” katanya lagi. Dalam pada itu, Pusat Rehabilitasi ini kini dikenali sebagai Pusat Rehabilitasi Perkeso Tun Abdul Razak (PRPTAR).

Ia sebagai penghormatan kepada bekas perdana menteri Tun Abdul Razak yang mula memperkenalkan Perkeso pada 1971. Sejak memulakan operasi pada 2014, pusat ini telah menerima 15, 652 pesakit dalam kalangan pekerja yang mencarum dengan Perkeso.

Daripada jumlah itu, 1,500 orang telah menjalani latihan pemulihan dengan 968 daripadanya telah kembali memulakan pekerjaan masing masing.