SKMM bukan badan pengintip — Salleh Said Keruak

KUCHING: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak hari ini meminta orang ramai agar tidak mempercayai khabar tular yang mengatakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memantau perbualan, video dan audio rakyat negeri ini melalui aplikasi whatsapp.

“Ia berita palsu yang tidak ada kebenaran sama sekali.

“SKMM merupakan satu badan regulasi. Bukan badan untuk mengintip mana-mana pihak,” tegasnya lagi.

Pun begitu katanya, SKMM selalu memberi amaran kepada semua pihak bahawa dalam menggunakan media sosial, semua pihak terikat dengan undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Jadi kita harus berhati-hati. Kita ada kebebasan untuk bercakap, menulis… tetapi kita tidak kebebasan untuk menghancurkan negara.

“Kita tidak boleh menyebarkan berita-berita palsu yang akhirnya boleh menggugat ketenteraman negara… kestabilan negara,” katanya.

Jika ini berlaku katanya, sudah tentu pihak berautoriti akan mengambil tindakan.

“Tetapi saya menegaskan bahawa SKMM tidak akan terlibat dalam mengintip mana-mana pihak yang berkomunikasi menggunakan aplikasi whatsaspp atau berinteraksi melalui media sosial,” jelasnya lagi.

Beliau ditemui selepas merasmikan Aiffa BizWorld 2017 di Hotel Pullman dekat sini pagi semalam. – Sarawakvoice