Media sosial: Boleh menjadi satu bentuk revolusi budaya – Nancy

BATANG SADONG: Ibu bapa dinasihatkan supaya sentiasa memantau aktiviti anak-anak dan menasihatkan mereka agar menggunakan media sosial secara bijak. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, langkah tersebut penting kerana jika tidak diatasi, media sosial boleh menjadi satu bentuk revolusi budaya yang berbahaya dan boleh merosakkan eko-sistem sosial dalam kalangan masyarakat negara ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong berkata, salah satu contoh isu yang menjadi kebimbangan masyarakat ketika ini ialah penyalahgunaan media sosial oleh pihak tertentu untuk menarik golongan muda mendaftar sebagai ahli dalam sesuatu pertubuhan yang akhirnya, terlibat dalam aktiviti keganasan.

“Kumpulan yang bergerak aktif dalam media sosial ini mempunyai agenda tertentu dan antaranya ialah untuk merekrut anggota pengganas menggunakan nama Islam.

“Hal ini terbukti apabila kajian mendapati 95 peratus pengganas bermula daripada Facebook apabila pemimpin pengganas memanipulasikan maklumat tentang jihad dan tauhid menerusi media sosial tersebut,” katanya berucap dalam Program Inovasi Berpusatkan Masjid : Cinta Al-Quran, Terokai Masjid, Lan Riadah dan Kongsi Rasa Kita Sama Kita anjuran Pejabat Daerah Simunjan di Masjid Daerah Simunjan di sini, baru baru ini.

Mengulas lanjut, Nancy berkata, statistik dari Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia pula menunjukkan 63 peratus belia berusia 15 hingga 40 tahun merupakan 77 peratus daripada lebih 24 juta pengguna internet di negara ini yang menggunakan laman sosial pada masa lapang.

Apa yang membimbangkan, kata beliau, statistik aduan berkaitan media baharu menunjukkan peningkatan bilangan kandungan lucah, sumbang dan pelbagai maklumat palsu.

Walau bagaimanapun, ujarnya, media sosial boleh memberi pelbagai manfaat jika digunakan dengan betul terutama kepada golongan wanita dan belia dalam menjana pendapatan tambahan melalui perniagaan secara atas talian dengan menjadikan hobi serta kemahiran yang ada sebagai produk untuk diniagakan.

“Untuk pengetahuan, jumlah perniagaan atas talian pada tahun lalu adalah sebanyak 476, 401, manakala sehingga Mac tahun ini, seramai lebih 47,000 peniaga atas talian mendaftarkan perniagaan mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Ibu bapa juga boleh menggalakkan anak-anak yang menuntut di institusi pengajian tinggi (IPT) agar memohon geran di bawah Program 1 Perniagaan 1 Pelajar yang diperuntukkan SSM bagi membantu membiayai pendaftaran perniagaan pelajar.

“Sejak dilaksanakan pada 2 Januari sehingga Mac lalu, geran tersebut telah berjaya membantu 7,221 orang usahawan muda dari pelbagai IPT dengan paling ramai adalah pelajar perempuan iaitu 4,561 orang,” ujarnya.

Tambahnya, angka itu menunjukkan bahawa industri perniagaan atas talian semakin berkembang dengan jumlah wanita terlibat dalam perniagaan terbabit kini mencecah 1.18 juta orang dengan kebanyakan mereka memilih perniagaan makanan, pakaian dan kosmetik.