Majoriti Pas masih sokong, Azmin yakin kerajaan Harapan S’gor utuh

SEPANG: Ketika bertiup kuat kerajaan Selangor akan jatuh, kepulangan Menteri Besar Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang disambut majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memberi gambaran sebaliknya.

Selepas Muktamar Pas di Kedah mendesak parti berkenaan memutuskan kerjasama politik dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sekali gus dengan Pakatan Harapan (Harapan), kerajaan Harapan di Selangor dijangka goyang.

Sebelum ini Pas sudah memutuskan kerjasama dengan DAP serta menafikan kewujudan Parti Amanah Rakyat (Amanah).

Ironisnya, sekembali Azmin dari mengadakan pertemuan dengan pelajar Malaysia di Timur Tengah di Dubai, Adun dari Pas turut hadir menyambut kepulangan Azmin memberi gambaran lain daripada suara muktamar Pas.

Bagi Azmin, sambutan tanda solidariti majoriti Adun terhadap beliau dianggap sebagai kukuhnya kerajaan selangor.

“Ini semua provokasi politik jahat dan tidak bertanggungjawab untuk mengugat kestabilan kerajaan Selangor,” ujar beliau.

Adun PKR, Pas, Dap serta penyokong berkumpul 2.30 petang di KLIA menyambut Azmin yang sekali gus menolak dakwaan berlakunya pilihan raya mengejut di Selangor bagi mengelak cubaan Adun berpaling tadah dan mengubah sokongan mereka.

Antara anggota Pas yang hadir memberi sokongan kepada Azmin ialah Dr Halimah Ali Adun Selat Klang, Abdul Rani Osman (Meru), Khairuddin Othman (Paya Jaras), Hasbullah Ridzwan (Gombak Setia) dan Noor Hanim Ismail (Seri Sedang).

Dua exco Pas turut hadir ialah Dr Yunus Hairi dan Zaidy Abdul Talib termasuk Timbalan Speaker Shafie Ngah yang juga Adun Bangi.

Sebelum ini, Adun Batu Tiga PKR, Rodziah Ismail menafikan beliau menyertai enam wakil rakyat ke Istana Selangor untuk menarik sokongan terhadap Azmin.

Beberapa Adun, seperti Dr Daroyah Ali, Dr Idris Ahmad dan Yaakob Sapari turut dispekulasikan berpaling tadah bagi membentuk kerajaan baru di Selangor.

Azmin menyifatkan semua provokasi yang berlaku sebagai politik jahat dan tidak bertanggungjawab bertujuan mengugat kestabilan kerajaan Selangor. – Sarawakvoice