Lima anggota sindiket curi kabel dikenakan pengawasan peranti elektronik

BINTULU: Lima anggota sindiket curi kabel dan bateri berkuasa tinggi di sini semalam dikenakan hukuman pergerakan terhad, dengan dipasang alat peranti pengawasan elektronik (EMD).

Menurut Ketua Polis Daerah (KPD) Bintulu, Superitendan Zailanni Amit, arahan tersebut dikeluarkan Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) semalam susulan penglibatan sindiket yang dikenali sebagai Geng Gibson ini dalam lapan kes berkaitan pecah masuk pencawang serta curi kabel dan bateri berkuasa tinggi.

“Hukuman itu dilaksanakan di bawah Seksyen 15 Akta Pencegahan Jenayah (APJ) 1959, dengan kesemua pesalah perlu melaporkan diri di balai polis yang ditetapkan.

Pengawasan elektronik itu menetapkan kesemua pesalah hendaklah memaklumkan lokasi dan berada di dalam rumah mereka di antara jam 7 malam hingga 6 pagi setiap hari.

“Tempoh pengawasan hukuman adalah selama dua tahun bermula 2 Mei lalu.

“Mereka diwajibkan melapor diri ke balai polis yang ditetapkan pada setiap Isnin dan Khamis sepanjang tempoh pengawasan berkenaan.

Balai terbabit ialah Balai Polis Tapah (Serian), Balai Polis Tanjung Lobang (Miri), Balai Polis Saratok (Betong), Balai Polis Batu Niah (Miri) dan Balai Polis Limbang. – Sarawakvoice