Krisis air – Kampung Paloh terima 718 kotak air minuman hari ini

KABONG: Krisis air yang melanda penduduk Kampung Paloh di sini mendapat perhatian pihak kerajaan dengan sebanyak 718 kotak air minuman dihantar kepada penduduk kampung tersebut hari ini.

Ketua Kampung Paloh, Abang Morshidi Abang Buserah memberitahu penghantaran itu dilakukan selepas pihaknya menghantar permohonan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Rabu lalu.

Menurut Morshidi, kemarau yang telah melanda kampung itu sejak lebih sebulan yang lalu menyebabkan mereka kini kehabisan stok air bersih dan menunggu hujan turun bagi mmemulihkan keadaan.

Kampung itu yang tidak dapat dihubungi melalui jalan darat menyukarkan penduduk untuk menggunakan kenderaan darat bagi mendapatkan air bersih dari kampung berdekatan.

“Dalam keadaan sekarang penduduk kini menjadikan air telaga sebagai sumber untuk mendapatkan air bagi kegunaan harian. Air telaga dan air parit tidak berapa elok keadaannya tetapi penduduk terpaksa guna juga kerana tiada pilihan.

“Kampung kami tidak ada bekalan air paip , hanya mengharapkan air hujan sebagai mendapatkan bekalan air untuk minum dan memasak,”ujarnya.

Morshidi dalam pada itu mengucapkan terima kasih kepada pihak kerajaan yang tampil membantu dengan menghantar bekalan air minuman dalam botol untuk penduduk.

Penghantaran air minuman daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Saratok kepada Kampung Paloh sama seperti pembahagian untuk Kampung Beting Maro kelmarin iaitu 2 kotak ( sekotak 12 botol 1.5 liter) untuk sekepala.

Senerita Nawi Usan yang turut hadir memantau proses penghantaran mewakili JKM Saratok menjelaskan pengagihan air minuman membabitkan penduduk seramai 359 orang dan dihantar melalui jeti Kabong seawal jam 7 pagi tadi.

Senerita memberitahu pihak JKM Saratok akan terus menyalurkan bantuan jika masih diperlukan selepas ini.

Kampung Beting Maro dan Paloh kini belum mendapat perkhidmatan bekalan air paip dan kerap berhadapan krisis air apabila kemarau melanda. – Sarawakvoice