KKM-Kerajaan S’wak tubuh jawatankuasa tangani prasarana ICT terkini

KUCHING: Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Mohd Salleh Said Keruak berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) menyediakan RM1 bilion membantu Sarawak merealisasikan impian membangunkan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) terkininya.

Salleh berkata beliau mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg membincangkan perkara tersebut secara terperinci.

Kedua-dua pihak, KKM dan Kerajaan Negeri bersetuju menubuh jawatankuasa berkaitan perkara tersebut bagi melicinkan pelaksanaannya.

Bercakap selepas merasmikan Biz World Anugerah Festival Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2017 Hotel Pullman, Salleh berkata sangat penting diadakan kerjasama memikirkan pelaksanaannya yang melibatkan banyak pekara.

Ia bukan setakat melibatkan pembinaan menara sahaja.

Salleh mengulas saranan Abang Johari meningkatkan kadar kelajuan internet yang disifatkannya bukan sekadar angan-angan, sebaliknya niat tersebut konkrit dan mampu direalisasikan.

Salleh turut menyambut positif cita-cita Kerajaan Negeri menubuhkan Pihak Berkuasa Multimedia sendiri mengawal selia pembangunan prasarana ICT.

Menurutnya, agensi khusus seperti itu mampu membantu melicinkan proses menaik taraf sistem ICT Bumi Kenyalang.

Berkaitan peruntukan membina menara di Sarawak menerusi kerjasama dengan syarikat yang dipertanggungjawabkan, Salleh berkata, jika ingin mempercepat projek berkenaan, banyak syarikat alternatif perlu dilibatkan sekali. – Sarawakvoice