Kadar literasi rakyat Malaysia hampir 95 peratus – Perpustakaan Negara

KUALA LUMPUR: Kadar literasi rakyat Malaysia secara umumnya sudah menjangkau 94.64 peratus berdasarkan laporan yang dikeluarkan badan antarabangsa, kata Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Datuk Nafisah Ahmad.

Beliau berkata laporan ‘Adult and Youth Literacy : National Regional and Global Trends 1985-2015’ yang diterbitkan oleh UNESCO Institute for Statistic (UIS) mengklasifikasikan peratusan itu terhadap literasi dalam kalangan rakyat berumur 15 tahun ke atas di Malaysia.

“Tahap pengukuran yang ditetapkan oleh UIS agak tinggi dan kita merujuk kepada laporan mereka bagi mengelakkan kekeliruan,” katanya kepada Bernama mengulas laporan media baru-baru ini berhubung kadar literasi rakyat Malaysia yang masih berada pada tahap 55 peratus.

Sehubungan itu, Nafisah berkata tumpuan PNM ketika ini adalah untuk meningkatkan tabiat membaca dalam kalangan rakyat Malaysia yang masih berada pada tahap kurang memuaskan.

“Secara purata, setiap penduduk di Malaysia hanya membaca sebanyak 15 buah buku setahun berdasarkan kajian interim tabiat membaca yang PNM lakukan pada 2014. Jadi perkara yang kita pentingkan sekarang adalah untuk membangunkan masyarakat Malaysia yang mempunyai budaya membaca yang lebih tinggi,” katanya.