KUALA LUMPUR: Jumlah dagangan Malaysia pada  Mac 2017 tumbuh 31.1 peratus, mencecah RM159.86 bilion berbanding bulan yang sama tahun lepas, dengan eksport meningkat 24.1 peratus kepada RM82.63 bilion.

Ini merupakan pertumbuhan dua digit yang keempat bulan berturut-turut sejak Disember 2016, kata Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam pengumuman mengenai perangkaan perdagangan luar negara, di sini semalam.

Lebihan dagangan sebanyak RM5.41 bilion, yang merupakan lebihan dagangan bulan ke-233 berurut-turut sejak November 1997.

Import pada Mac 2017 tumbuh 39.4 peratus kepada RM77.22 bilion.

MITI berkata jumlah dagangan bagi suku pertama 2017 melonjak 24.3 peratus kepada RM430.51 bilion berbanding RM346.38 bilion pada tempoh yang sama pada 2016.

Eksport meningkat 21.4 peratus kepada RM224.7 bilion manakala import meningkat 27.7 peratus kepada RM205.82 bilion, menjadikan lebihan dagangan sebanyak  RM18.88 bilion.

Peningkatan jumlah dagangan dapat dilihat dengan rakan dagang ASEAN, China, Jepun, Republik Korea (ROK), Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS).

“Pada Mac 2017, eksport tumbuh dua digit direkodkan dalam kesemua sektor utama iaitu perkilangan, hasil galian serta keluaran pertanian,” kata MITI.

Eksport barangan perkilangan meningkat 22.1 peratus kepada  RM67.26 bilion berbanding setahun lepas, menyumbang  81.4 peratus penguasaan jumlah eksport.

Eksport hasil galian bernilai  RM7.67 bilion, manakala keluaran pertanian meningkat 25.4 peratus kepada RM6.89 bilion berikutan pertambahan eksport minyak sawit dan keluaran pertanian berasaskan minyak sawit serta getah asli.

Dagangan dengan ASEAN pada Mac 2017 berkembang 27.4 peratus kepada RM42.47 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Eksport meningkat 24.8 peratus kepada RM23.95 bilion, yang disokong oleh pertumbuhan ketara dalam eksport barangan elektrik dan elektronik, produk petroleum, petrolium mentah selain kimia dan bahan kimia.

Dagangan dengan China pada Mac 2017 meningkat 44.1 peratus kepada RM25.6 bilion manakala dagangan dengan EU berjumlah RM15.46 bilion, atau pertumbuhan 27.1 peratus dan perdagangan dengan Jepun meningkat 15.8 peratus kepada RM13.01 bilion dengan nilai eksport sebanyak  RM6.91 bilion.

Miti berkata pertumbuhan dua digit eksport  dengan rakan Perjanjian Perdagangan Bebas, iaitu India, yang meningkat 15.2 peratus kepada  RM3.31 bilion, Turki (97.1 peratus kepada RM1.01 bilion), New Zealand (72.3 peratus kepada RM421.2 juta) dan Republik Korea (28.9 peratus kepada RM2.51 bilion).

Pada Mac 2017, tiga kategori utama import oleh pengguna akhir terdiri daripada barangan pengantara bernilai RM43.07 bilion atau 55.8 peratus jumlah import.

Ia meningkat sebanyak 36.3 peratus, sebahagian besarnya didorong oleh import peralatan dan aksesori barangan modal yang lebih tinggi.

Yang lain melibatkan barangan modal (RM13.54 bilion, 17.5 peratus, naik  82.4 peratus) terutama disumbangkan oleh import yang lebih tinggi ke atas barangan modal kecuali kelengkapan pengangkutan dan barangan penggunaan  (RM6.09 bilion, 7.9 peratus, naik 14 peratus), dengan import yang lebih tinggi ke atas bahan separa tahan lama khususnya artikel plastik. Bernama