Imaginasi bangsa ekonomi digital

Dr Awang Azman Awang Pawi

Istilah ekonomi tidaklah terlalu baru dalam kontek wacana dunia.  Istilah ini mula hangat dibincangkan apabila Don Tapscott  mengemukakan istilah ini dalam bukunya The Digital Economy: Promise and Peril I the Age of Networked Intelligence pada tahun 1995. Berapa ramai  yang sudah membaca buku ini sebelum membicarakan  ekonomi digital secara berleluasa? Adakah seperti buku Strategi Laut Biru yang lebih lunak disebut namun tidak dibaca inti sebenarnya daripada buku  asal tersebut?

Adakah Rakyat Bersedia?

Ekonomi digital selalu dirujuk sebagai ‘ekonomi  berasaskan internet’ atau  ekonomi baru yang  berbeza dengan ekonomi tradisional. Misalnya,  kalau dahulu sebelum meminjam buku di perpustakaan, buku-buku akan dibelek-belek  di rak perpustakaan.  

Namun, di Universiti Leiden  Belanda sebelum meminjam buku,  ulasan  atau ringkasan buku terlebih diperoleh melalui akses internet. Pelajar tak dibenarkan sama sekali membelek-belek  di rak perpustakaan sebagaimana dalam keadaan tradisional.   Mereka hanya perlu menempah secara maya dan dikutip di kaunter. Bersediakah pelajar menerima situasi ini?

Begitu juga pembelian buku. Kebanyakan  mereka  yang terlibat dalam era digital pergantungan buku terletak kepada  secara maya. Apa-apa buku  terkini  dapat dilihat melihat Amazon.com, E-bay dan kini dalam konteks syarikat tempatan MPH, ITBM, Dewan Bahasa dan Pustaka menawarkan  pelbagai judul baharu di pasaran.  

Persoalan, adalah rakyat Malaysia bersedia  berurusan secara maya untuk membeli buku?  Adakah mereka lebih bersedia menunggu setahun sekali pameran buku antarabangsa atau kebangsaan  daripada memperoleh secara maya yang sesuai dengan ekonomi digital masa kini? Inilah adalah petunjuk persediaan rakyat untuk menggerakkan ekonomi digital.

Di negara maju yang mempraktiskan ekonomi digital, apabila naik teksi awam tak perlu bawa wang tunai. Hal ini kerana di dalam kereta boleh membayar tambang teksi melalui debit atau kredit kad. Isu keselamatan juga dapat dipertingkatkan dengan kemudahan yang ada. Bagaimanakah pula apabila kita naik teksi awam di negara kita? Sudahkah  situasi ini berlaku sesuai dengan era ekonomi digital yang kita idamkan?

Asas Penting Ekonomi Digital

Terdapat beberapa aspek  penting dalam ekonomi digital  dan ini eliputi infrastruktur perdagangan maya. Hal ini termasukkan  dalam perisian, telekomunikasi, jaringan, modal insan dan  sebagainya.  Bagaimanakah pula persediaan agensi-agensi yang ada?

Bagaimanakah pula persediaan dalam kalangan rakyat? Berapa ramai atau peratus rakyat negeri ini  membayar bil air secara maya setiap bulan? Berapa banyak kemudahan disediakan untuk membayar cukai-cukai majlis tempatan secara  maya agar tidak perlu mengambil nombor dan berbaris panjang di kaunter?  Peratus kemudahan yang disediakan ini juga mencerminkan persediaan pihak agensi kerajaan dalam pelaksanaan kerja secara maya.

Modal Insan

Ekonomi digital juga bermakna dunia global semakin dengan manusia hingga memasuki ruang bilik tidur dan bilik air. Sejauh manakah persediaan menghadapi ekonomi digital dari segi modal insan?

Menghadapi ekonomi digital bukan sekadar soal bahasa Inggeris semata-mata sebagaimana dibuktikan oleh negara Jerman, Korea Selatan dan Jepun.  Ekonomi digital perlu dihadapi dengan menyediakan  modal insan atau ilmu yang cukup berdasarkan acuan tempatan.

Mengapakah rakyat Afrika seperti di negara Ghana, Kenya, Zimbabwe dan Nigeria banyak dihantar ke negara berbahasa Inggeris akan tetapi tidak juga membawa kemajuan negara. Malah bahasa Inggeris digunakan sebagai  bahasa lingua franca dan rasmi di negara tersebut.

Hal ini bermakna ilmu tak mengenal bahasa seperti dibuktikan oleh Sweden, Norway, Belgium dan negara maju yang lain.  Hal ini kerana ekonomi digital bersifat  bebas pergerakan tanpa ditutupi oleh bahasa penuturnya.

Yang penting ekonomi digital  ialah jaringan  manusia melalui teknologi dapat dikombinasikan  di antara pengetetahuan dan kreativiti minda untuk menghasilkan  norma  sosial  baharu dan segar  untuk membentuk  dan mencipta kekayaan ngeri  dan pembangunan sosial  Sarawak.

Nilai Tambah dan Tidak Bebankan Rakyat

Perlu dingat ekonomi digital ini berupaya memindah  bentuk fizikal yang sedia ada yang berat ke dalam bentuk yang ringan dan maya  seperti e-book, e-journal, emel  dan sebagainya.  Pada masa yang sama  integrasi  jaringan  dalam gerakan ekonomi digital tidak akan pula  dibebankan dengan kos teknologi yang menyekatkan pergerakannya.

Hal ini sesuai dengan  konsep  ekonomi digital adalah untuk memudahkan atau mempercepatkan urusan kerja, menjimatkan kos dan tenaga. Justeru, apalah erti ekonomi digital dilaksanakan tetapi membebankan rakyat menanggung kos tambahan atau menyusahkan  kehidupan masyarakat di luar bandar.  

Ekonomi digital sepatutnya mampu membawa nilai positif yang memberikan nilai tambah kepada rakyat,  penggunaan inovasi dalam penghasilan produk baharu dan perkhidmtan, bersifat interaktif,  membentuk individu memiliki pelbagai kemahiran insaniah dan keupayaan, peka terhadap perubahan teknologi, bergerak dari  data, teks, imej yang berasingan ke arah bersifat multimedia interaktif untuk melengkap keperluan manusia sejagat,  bersifat terbuka dalam sistem dan  sejagat, memiliki jaringan pintar, ke arah  realiti maya, kesepakatan  persekiraan ke arah ekonomi baru digital yang memberikan dampak besar kepada kesejahteraan rakyat.

Kepimpinan Ekonomi Digital

Kesemua ini memerlukan kepimpinan  yang kuat  untuk mengubah minda rakyat ke atas penyesuaian  ke arah ekonomi digital. Menurut Don Tapscott orang pertama mencipta istilah  ekonomi digital ini,  kepimpinan  dalam ekonomi digital  perlulah mempunyai ciri-ciri kepimpinan  mementingkan keputusan berasaskan  konsensus berbanding bersifat one man show atau individualiti.

Kepimpinan ini juga menurut Tapscott perlulah  sentiasa mahu belajar dan  memastikan  pengaliran maklumat berjalan lancar tanpa sekatan. Kepimpinan inilah menurut beliau akan menjayakan agenda dan transformasi ekonomi digital hingga menjadi ikon rakyat pada masa akan depan. – Sarawakvoice