Bermulanya projek Rangau Valley pacu perubahan Limbang

LIMBANG: Projek mega Rangau Valley yang bernilai RM250 juta bermula Mei ini, diharap dapat “menghidupkan” Limbang menjadi bandar moden.

Sebelum ini Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg mahu Kerajaan Negeri mengubah landskap pembangunan Limbang dengan menyediakan kemudahan perumahan untuk warganya.

Bercakap pada sidang media Jumaat, Menteri Muda Kebajikan dan Kesejahteraan Komuniti Dr Abdul Rahman Ismail mahu pemaju melaksana segera projek Rangau Valley cetusan Abang Johari ini.

Menurut Abdul Rahman, Abang Johari sekali lagi pada taklimat tertutup selepas menyempurnakan majlis penyampaian Pingat Perkhidmatan Setia (PPS) di Dewan Suarah pada Jumaat mahu projek berkenaan direalisasikan segera.

Abang Johari ketika merasmikan Pelancaran Projek Pembangunan Rangau Valley hujung Januari lepas berharap lembah tersebut menjadi katalis buat pembangunan Limbang yang merupakan bumi kelahiran beliau.

Sebelum ini, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem bersetuju menaik taraf Limbang menjadi kawasan maju di utara.

Sepanjang 10 tahun, Limbang kurang diperhatikan oleh rakyat sehingga projek perumahan RPR Rangau di situ turut tidak terjual.

Abang Johari yakin, kerjasama Sarawak-Brunei Darussalam bergabung mempromosikan industri pelancongan di utara Sarawak menjadi nilai tambah merancakkan pembangunan Rangau Valley untuk kepentingan masa hadapan.

Selain itu, banyak prasarana moden dibina mengindah serta menampilkan wajah baru Limbang.

Rangau Valley strategik berhampiran sungai Limbang, berkonsepkan pembangunan perumahan serta prasarana lain seperti dilaksanakan di Sibu Jaya atau di Klang Valley di Semenanjung Malaysia.

Abdul Rahman berharap Rangau Valley menjadi momentum bagi pembangunan dan kemajuan Limbang. – Sarawakvoice