Bekas Pengurus Besar Kanan MAHB tidak mengaku salah pecah amanah RM43 ribu

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Besar Kanan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan pecah amanah melibatkan penggunaan wang berjumlah RM43,698.55.

Tertuduh, Md. Shamsuri Md. Isa, 41, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan terhadapnya mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan tersebut, Md. Shamsuri didakwa telah melakukan pecah amanah terhadap kemudahan rawatan tiada had nilai bagi melakukan pembedahan Laparoscopic Sleeve Gastractomy yang tidak ditanggung oleh MAHB.

Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di Prince Court Medical Centre pada 19 Disember 2015.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara tidak kurang dua tahun hingga 20 tahun dan sebat serta denda.

Hakim Azura membenarkan Md. Shamsuri diikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah telah menetapkan 29 Mei 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Bagi pihak SPRM, kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya S.Thangavelu.

Semalam, Md. Shamsuri didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam dengan empat pertuduhan atas dakwaan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM18,580 untuk rawatan kecantikan. – Sarawakvoice