Australia menang kes kotak rokok tanpa jenama, sediakah M’sia ikut…

GENEVA: Adakah kemenangan Australia dalam perbicaraan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) berkaitan penguatkuasaan penggunaan kotak rokok tanpa logo atau jenama syarikat mempengaruhi langkah Malaysia.

Bloomberg pada Jumaat melaporkan, perbicaraan hampir lima tahun itu memberi tamparan kepada industri tembakau.

Bahkan, kesan kepada global, ia memberi lampu hijau kepada negara lain melaksanakan peraturan yang sama.

Staf WTO mengesahkan draf dihantar kepada pihak yang mempertikaikan undang-undang berkenaan pada Selasa minggu lepas.

Manakala, jurucakap syarikat pengeluar rokok terbesar British American Tobacco enggan mengulas lanjut keputusan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata mungkin rayuan dikemukakan beberapa pihak kerana laporan panel bukan keputusan muktamad.

Menurut Rauters, Australia menguat kuasa peraturan kotak rokok kosong bermula 2010 dengan jenama rokok hanya dibenarkan dalam tulisan kecil.

Syarikat tembakau menganggap peraturan tersebut melanggar undang-undang cap dagang.

Sementara, Cuba, Honduras, Republik Dominica dan Indonesia mengadu di WTO undang-undang berkenaan halangan secara haram dalam perdagangan.

Britain, Perancis dan Hungary bakal melaksanakan undang-undang sendiri.

Manakala Ireland, Kanada, Afrika Selatan, Belgium dan New Zealand antara negara yang mempertimbang mengikut jejak Australia.

Bernama hujung April lepas melaporkan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil langkah serupa Australia dan Perancis yang mewajibkan penggunaan kotak rokok tanpa jenama.

Langkah tersebut dikatakan mampu membantu kempen mengurangkan pertambahan jumlah perokok tegar.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah bersetuju dan berpendapat kaedah seperti itu inisiatif baik ekoran meningkatnya jumlah perokok di Malaysia setiap tahun.

Setakat 2015, jumlah perokok tegar di Malaysia dilaporkan seramai 5 juta orang.

Kajian yang dilakukan oleh Britain mendapati mereka mampu mengurangkan sehingga 300,000 perokok di negara berkenaan dalam tempoh setahun.

Kotak rokok tanpa logo jenama diwajibkan memiliki warna, bentuk dan saiz tulisan yang seragam.

Bagaimanapun, amaran kesihatan dan maklumat lain oleh kerajaan masih dikekalkan pada kotak rokok.

Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Persatuan Pengguna Islam (PPIM) Malaysia, bersetuju dan menggesa kerajaan mewajibkan pengeluar membungkus rokok tanpa mencetak jenama pada kotaknya. – Sarawakvoice