Trafik penumpang global naik 6.8 peratus Mac 2017

KUALA LUMPUR: Trafik penumpang global meningkat 6.8 peratus pada Mac tahun 2017 berbanding dengan bulan yang sama pada tahun lepas, disebabkan oleh tambang yang lebih rendah dan peningkatan ekonomi global yang lebih menyeluruh, kata Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA).

Ketua Pengarah dan Ketua Pegawai Eksekutif IATA Alexandre de Juniac, dalam satu kenyataan, berkata suku pertama telah menyaksikan kekukuhan dalam permintaan trafik, disokong oleh tambang yang lebih rendah yang telah menurun sebanyak kira-kira 10 peratus sejak tahun sebelumnya.

Sementara itu, larangan ke atas barangan elektronik yang besar di dalam kabin pada laluan-laluan tertentu ke Amerika Syarikat dan United Kingdom, berlaku terlalu lewat iaitu pada bulan Mac bagi melihat kesan yang jelas ke atas perangkaan trafik.

Larangan itu, yang dilaksanakan tanpa sebarang notis, dialog dan penyelarasan, menjadi ujian kepada keyakinan awam dalam bagaimana kerajaan dan industri bekerjasama untuk memastikan penerbangan terus selamat, kata de Juniac.

“Telah wujud khabar angin yang menyatakan bahawa larangan itu akan diperluaskan ke lapangan terbang dan kawasan-kawasan lain, kami meminta kepada kerajaan untuk bekerjasama dengan pihak industri bagi mencari alternatif, agar terus memastikan penerbangan selamat tanpa memberikan kesulitan yang besar kepada penumpang-penumpang kami,” katanya. Bernama