Syarat parti politik menang PRU-14

Ooi Heng

Pilihan raya umum (PRU) Ke-14 bakal diadakan dalam masa kurang daripada setahun.

Apakah syarat-syarat yang diperlukan oleh parti-parti politik untuk menang besar dalam PRU-14?

Sejarah  13 PRU yang lepas menunjukkan bagaimana Barisan Nasional (BN) dapat menang besar sehingga membentuk kerajaan persekutuan.

Sejarah juga menunjukkan bagaimana parti pembangkang dapat menang besar sehingga menafikan majoriti dua pertiga kerajaan BN di peringkat persekutuan.

Berdasarkan sejarah 13 PRU yang lepas dan senario semasa, badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) cuba membangkitkan aspek penting berkaitan perkembangan parti pembangkang yang ditunjangi Pakatan Harapan.

Sejarah menunjukkan bahawa parti pembangkang yang mampu menang besar dalam PRU adalah parti pembangkang yang membentuk gabungan politik yang berkesan.

Dalam sistem First-Past-The-Post (FPTP) di mana majoriti satu undi sudah memadai untuk sebuah parti politik menang dalam sesebuah kerusi parlimen yang dipertandingkan, gabungan politik sebaik-baiknya hendaklah dibentuk sebelum dan bukannya selepas PRU.

Situasi terbaik adalah wujudnya sebuah gabungan parti pembangkang yang bersatu padu dan didaftarkan dengan menawarkan satu logo dan satu manifesto bersama.

Pimpinan Pakatan Harapan sedang berusaha menuju ke arah pendaftaran gabungan dengan satu logo dan satu manifesto. Ini satu perkembangan yang positif. Tetapi pelan alternaf harus ada.

Pelan alternatif yang dimaksudkan adalah apabila pendaftaran gabungan dengan satu logo baru ditolak atau dilengah-lengahkan sehingga parlimen sudah dibubarkan tetapi pendaftaran logo baru masih belum dimuktamadkan.

Dalam situasi sedemikian, harus ada satu logo alternatif supaya Pakatan Harapan dapat menampilkan dirinya sebagai gabungan parti yang bersatu padu dalam PRU-14.

Apabila logo baru gagal didaftarkan sebelum PRU-14, secara praktikalnya, salah satu logo daripada kalangan parti-parti pembangkang yang membentuk Pakatan Harapan hendaklah digunakan sebagai logo calon Pakatan Harapan dalam PRU-14.

Daripada empat logo sedia ada, logo AMANAH dan BERSATU masih baru buat pengundi seluruh pelosok negara.

Yang dikenali pengundi ialah logo KEADILAN dan DAP. DAP telah berusia 51 tahun sementara KEADILAN telah berusia 18 tahun.

Apabila faktor penerimaan oleh pengundi pelbagai etnik diambil kira, seharusnya logo KEADILAN digunakan sebagai logo calon Pakatan Harapan jika sekiranya tiba PRU-14 nanti, logo baru Pakatan Harapan masih gagal didaftarkan.

Dalam hal berkaitan manifesto, adalah penting Pakatan Harapan menyambung tradisi manifesto era Pakatan Rakyat di mana imej Pakatan Harapan haruslah sebagai sebuah gabungan parti yang menawarkan kebijaksanaan secara inklusif, mengangkat kepedulian rakyat, bertanggungjawab dan membawa pembaharuan.

Namun, manifesto sebaik mana pun tidak mampu membawa impak yang diingini jika sekiranya pemimpin, ahli atau penyokong yang dilihat sebagai mewakili mana-mana parti dalam Pakatan Harapan membawa mesej yang berlainan dengan manifesto Pakatan Harapan apabila mereka berdepan dengan kumpulan masyarakat yang berbeza.

Umum sedia maklum bahawa faktor-faktor seperti dana PRU, jentera akar umbi, media, persempadanan kawasan pilihan raya dan bilangan kerusi yang berdepan dengan lawan tiga atau lebih penjuru juga menjadi syarat-syarat yang mempengaruhi sesebuah PRU.

Tetapi dari perspektif pengundi, perkara paling asas adalah sama ada sebuah gabungan parti memaparkan imej dan mesej pembaharuan yang konsisten, pimpinan Melayu yang berkesan dan bersifat menyatupadukan serta harapan gabungan parti itu membentuk kerajaan khususnya di peringkat persekutuan.

PRU-14 mungkin diadakan dalam masa enam bulan.

Secara praktikalnya, penggunaan logo sedia ada sebagai logo alternatif calon Pakatan Harapan harus dibincangkan selari dengan pendaftaran logo baru.

Ooi Heng ialah Pengarah eksekutif Badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).