SKMM sambut saranan geran sepadan RM1b Kerajaan Negeri untuk laksana menara telekomunikasi Sarawak – Salleh

KUCHING: Kementerian Komunikasi dan Multimedia hari ini memberi jaminan bahawa pihaknya tidak berhalangan untuk menyediakan peruntukan geran sepadan RM1 bilion bagi membolehkan menara-menara telekomunikasi dibangunkan di seluruh negeri Sarawak.

Menterinya, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, yang penting ketika ini adalah untuk melihat bagaimana usaha ini dilaksanakan.

“Ia melibatkan banyak perkara, bukan soal menara sahaja.

“Ia juga melibatkan tanah, kelulusan kerajaan-kerajaan tempatan. Dan ini semua perlu diselaraskan kalau kita ingin mempercepatkan pelaksanaannya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan acara BizWorld 2017 sempena Festival Filem Antarabangsa Asean di sini sebentar tadi.

Beliau merujuk kenyataan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg sebelum ini yang mahukan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) menyediakan peruntukan sebanyak RM1 bilion tahun ini bagi mempercepatkan pembinaan menara-menara telekomunikasi di negeri ini.

Kerajaan Negeri kata Abang Johari, turut komited untuk menyediakan jumlah peruntukan yang sama bagi memastikan pembinaan 5,000 menara telekomunikasi di negeri ini dijayakan secepat mungkin.

Sarawak kini dalam proses melaksanakan dasar ekonomi baharu yang dinamakan Ekonomi Digital.

Salleh menambah, pihaknya akan memberikan kerjasama sepenuhnya agar apa jua yang dirancang oleh Ketua Menteri Sarawak keenam ini akan dapat dilaksanakan.

“Saya amat gembira apabila Sarawak meletakkan usaha menaik taraf kemudahan internet di negeri ini sebagai keutamaan, terutama dari aspek peningkatan kelajuannya.

“Sudah tentu kita akan berbincang bagaimana kaedah terbaik untuk melaksanakan impian tersebut secepat mungkin, selain menentukan jumlah peruntukan untuk membantu kerajaan Sarawak dalam pelaksanaannya

Salleh dijadualkan mengadakan pertemuan dengan Abang Johari pada petang ini.

Berkait tindakan Kerajaan Negeri menubuhkan Lembaga Multimedia Sarawak pula, ia dilihat sebagai sesuatu yang positif dalam merealisasikan langit digital Sarawak.

“Dengan adanya autoriti dan regulator yang dipertanggungjawab ini sudah tentu ia akan mempercepat proses pelaksanaan ekonomi digital Sarawak.

Bagaimanapun katanya, di peringkat pusat, kementeriannya juga melihat pentingnya kerjasama ini diperkukuh strukturnya.

“Mungkin kita akan tubuhkan satu jawatankuasa di antara pihak kementerian dan Kerajaan Negeri Sarawak yang berperanan melicinkan pelaksanaan apa juga projek yang dirancangkan di Sarawak.

Katanya, memandangkan sebelum ini Kerajaan Negeri menetapkan hanya Sacofa Sdn Bhd yang bertanggungjawab terhadap pembinaan menara telekomunikasi di negeri ini, besar kemungkinan pihaknya akan meminta prasyarat itu dilihat semula.

“Kalau boleh, kita ingin bincangkan supaya banyak pihak dilibatkan bagi mempercepat usaha membina menara ini kelak,” katanya lagi.

Aiffa Bizworld 2017 yang berlangsung di Hotel Pullman menyaksikan penglibatan lebih 30 syarikat antarabangsa bagi dalam proses pitching terbuka.

Sebanyak AS$30 juta diperuntukkan oleh Persatuan Audio Vidual Asia Tenggara (Savaa) bagi menjayakan cadangan-cadangan kreatif dan bernas untuk dijadikan filem. – Sarawakvoice