Pulau buatan misteri Korea Utara di Laut Kuning

PYONGYANG: Korea Utara didakwa membangunkan pulau buatan di Laut Kuning.

Independent pada Khamis melaporkan pulau buatan berkenaan dibangunkan dekat Stesen Pelancaran Satelit Sohae di wilayah Cholsan County.

Pulau buatan yang dibangunkan beberapa tahun terakhir itu didakwa memiliki pelbagai jenis bangunan, tapak konkrit serta jalan raya lebar.

Imej Google Earth

Pemerhati mendapati pulau buatan berkenaan dihubungkan oleh jalan raya dengan pulau utama.

Pulau tersebut mampu berfungsi sebagai lokasi pelancaran peluru berpandu baru atau sebagai tempat strategik senjata yang dimanfaatkan untuk menampan serangan udara.

Menurut The Diplomat, pemerhati berkata mereka kurang pasti fungsi pulau buatan tersebut sebagai pertahanan ketenteraan kerana masih tidak jelas jenis peralatan yang terdapat di situ.

Pegawai Strategic Sentinel, Ryan Barenklau memberitahu La Times bahawa terdapat pusat peninjau untuk VIP di pulau buatan tersebut.

Beliau berkata kemungkinan besar adanya aplikasi ketenteraan di pulau tersebut kerana Kim Jong-un gemar meninjau operasi yang dibangunkan oleh pakar dan tenaga kerja negaranya. – Sarawakvoice

Imej Google Earth