Konflik punca pakatan pembangkang tak dapat tumpu perhatian kepada rakyat

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri berkata konflik dalaman pakatan pembangkang akan menyebabkan mereka tidak dapat menumpukan perhatian kepada rakyat.

“Kerajaan yang diperintah mereka berpecah-belah dan boleh mengakibatkan ekonomi merudum,” kata Datuk Seri Najib Razak.

“Kepimpinan yang tidak sehaluan akan mendorong Kabinet bertukar dengan kerap dan kesannya, kelangsungan perkhidmatan asas yang disediakan kerajaan akan terhenti atau tergugat,” katanya dalam catatan terbaharu di blog rasminya.

Katanya, kerajaan perlu dipimpin oleh gabungan parti politik yang kukuh, berpengalaman dan sehaluan untuk memastikan ekonomi negara membangun dan kebajikan rakyat terpelihara.

Perdana Menteri berkata kestabilan politik memainkan peranan penting dalam pembangunan sesebuah negara.

“Antara faktor yang menentukan kestabilan politik adalah kerjasama antara parti politik dalam gabungan parti yang memerintah,” katanya.

Melihat kepada sejarah politik pakatan pembangkang di negara ini, Najib berkata mereka tidak mampu bertahan lama.

Menurut Najib, sejak tahun 1986, pembangkang sudah membentuk sembilan pakatan seperti Barisan Alternatif yang ditubuhkan pada tahun 1998 tetapi dibubarkan pada tahun 2008.

Kemudiannya Pakatan Rakyat yang hidup sejak 2008 hingga 2015 terpaksa  dibubarkan selepas beberapa tahun.

“Yang lucunya, pembangkang kini didatangi parti kecil baru yang ingin menukar nama Pakatan Harapan. Pakatan apa pula yang akan timbul nanti?,” soal Najib.

Berkaitan keadaan politik di Selangor pada masa ini, Najib berkata, negeri itu sebenarnya tidak stabil sekiranya Pas atau DAP menarik diri daripada kerajaan, sekali gus menjejaskan kedudukan Menteri Besar dan kerajaan negeri. – Sarawakvoice