Fitnah: Ketua Hakim Syarie WP buat laporan polis terhadap Rafizi

PUTRAJAYA: Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan, Datuk Mahammad Ibrahim hari ini membuat laporan polis berhubung kenyataan yang dikeluarkan oleh Anggota Parlimen Pandan, Rafizi Ramli yang mendakwa keterlibatan hakim syariah dalam gejala rasuah.

Beliau membuat laporan polis itu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya di sini. Turut membuat laporan yang sama adalah Presiden Persatuan Pegawai Syariah Malaysia, Ibrahim Ideris.

Mahammad, yang ditemui pemberita selepas membuat laporan polis itu, berkata Rafizi pada prgram Parlimen ”olok-olok” pada 10 Aprillepas telah mengeluarkan kenyataan mendakwa rasuah dalam kalangan hakim mahkamah syariah lebih tinggi berbanding mahkamah sivil.

Menurutnya, Rafizi telah mengeluarkan kenyataan bahawa pindaan pindaan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Akta 355) yang tidak menaikkan gaji hakim mahkamah syariah akan meningkatkan risiko pengambilan rasuah dan salahguna kuasa dalam kalangan hakim mahkamah syariah.

Beliau berkata kenyataan itu berunsur fitnah dan mampu mencemar dan mengikis kepercayaan terhadap institusi kehakiman syariah di negara ini.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Rosly Hassan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan polis berkenaan.