Dua beranak gilakan Coca-Cola

Merah dan putih, dua warna yang mendominasi bilik khas di tingkat atas rumah kedai milik Lee Choon Chiek yang terletak di Pumpong, Jalan Anak Bukit di sini.

Merah dan putih bukanlah warna dinding bilik tersebut namun merupakan warna pelbagai botol, tin, kotak, cenderahati, hiasan dan permainan keluaran Coca-Cola yang tersusun rapi di atas rak-rak yang menutupi dinding serta memenuhi ruang itu.

Kesemua barangan tersebut adalah koleksi yang menjadi saksi kepada hobi luar biasa Lee, lelaki berusia 57 tahun itu, yang gemar mengumpul apa jua barangan Coca-Cola.

“Inilah syurga kecil saya di dunia. Bermula dengan satu botol dan satu tin Coca-Cola yang saya dapat pada 1976, sedar-sedar koleksi kini dah mencecah 50,000 barangan,” katanya yang fasih berbahasa Melayu.

Membelek model botol keluaran pertama Coca-Cola pada 1899 yang diperbuat daripada kaca, anak jati Pumpong itu berkata koleksi yang dimilikinya itu seumpama mesin yang membawanya merentas ke masa silam.

Tambah Lee, setiap botol, tin, hiasan atau permainan tersebut mempunyai cerita tersendiri, justeru masing-masing tidak ternilai dan tidak boleh ditukar ganti dengan wang.


KEJUTAN DARI LONDON

Bercerita lanjut, antara koleki kesayangan yang paling bernilai baginya adalah sebotol Coca-Cola keluaran khas sempena perkahwinan Puteri Diana (mendiang) dan Putera Charles yang berlangsung pada 29 Julai, 1981 di St Paul’s Cathedral, London.

“Ia dihadiahkan oleh kawan saya yang kebetulan bercuti di sana sewaktu perkahwinan Diraja itu berlangsung.

“Kawan saya beritahu, terdapat banyak cenderahati perkahwinan Diraja yang dijual di serata London ketika itu tetapi sebaik saja melihat botol Coke ini, dia terus membeli dan mengirimkannya melalui pos sebagai kejutan kepada saya,” ceritanya kepada Bernama.

Pelik tapi benar, realitinya beliau yang kini memiliki lebih 5,000 botol Coca-Cola pelbagai rekaan dan bentuk, sebenarnya tidak minum minuman bergas itu.

Namun, hobinya mengumpul barangan jenama antarabangsa itu telah menemukannya dengan beberapa nama hebat industri berkenaan.

KOLEKSI LENGKAP OLIMPIK

Pada 2012, Lee menerima jemputan ke perkahwinan anak lelaki Ketua Pegawai Eksekutif Coca-Cola Thailand. Pada majlis itu, tetamu menerima cenderahati istimewa berupa tin Coca-Cola berwarna perak yang mempunyai cetakan nama serta tarikh perkahwinan berkenaan.

“Lebih menarik, hanya 100 tin seumpamanya sahaja yang dikeluarkan khusus sebagai cenderahati majlis berkenaan,” katanya masih teruja walaupun peristiwa itu sudah berlalu.

Lee, yang membina sendiri rak tinggi separas siling di bilik itu memberitahu bahawa antara koleksinya termasuklah botol dan tin minuman tajaan Coca-Cola yang dikeluarkan sempena temasya sukan pelbagai peringkat di serata dunia.

“Namakan sahaja. Piala Dunia, Sukan SEA, Sukan Komanwel mahupun Olimpik yang menampilkan cetakan, bentuk, material tin dari aluminium atau botol kaca yang pelbagai, semuanya ada di rak ini,” katanya bangga.

Lebih istimewa, beliau bukan sahaja memiliki koleksi lengkap acara-acara sukan SEA dan Olimpik, malah tin-tin dengan cetakan khas gambar atlet yang terpilih bagi kejohanan-kejohanan itu.

KOLEKSI BERNILAI TINGGI

Ke mana tumpahnya kuah jika tidak ke nasi? Demikian juga bagi anak tunggal Lee, Jian Wen, 25, yang ‘dijangkiti kegilaan’ bapanya terhadap Coca-Cola sehinggakan beliau mendapat perhatian rakan-rakan ketika zaman persekolahan dahulu.

“Sejak dilahirkan, benda pertama yang saya lihat dan kenal adalah warna merah dan putih Coca-Cola. Memang kelakar tetapi di sebalik kegilaan ini, perkara penting yang ayah ajar melalui hobinya adalah sikap menghargai benda,” jelasnya sambil tersenyum melihat bapanya yang turut mengakui gemarkan warna merah dan putih.

Kedua-duanya tidak memilih dan sentiasa menghargai apa jua barangan Coca-Cola yang diberi oleh sesiapa sahaja mahupun yang dijumpai di tempat kitar semula asalkan berada dalam keadaan baik.

Bagi mereka, nilai botol atau tin Coca-Cola yang pada masa ini hanya RM1 mungkin mampu mencecah ratusan malah ribuan ringgit pada masa hadapan, terutamanya jika masih berisi airnya.

“Atas sebab itulah, kami sering dipujuk oleh pengumpul barangan Coca-Cola agar menjual beberapa koleksi kepada mereka. Untuk jualan, ia bergantung kepada jumlah barangan dan siapa yang memintanya.

“Dalam keadaan tertentu, kami akan menjualnya secara sistem barter jika kami ada lebih barangan dan orang yang meminta itu adalah kenalan rapat,” jelas Jian Wen.

AZAM BUKA MUZIUM

Berkongsi cerita mengenai penjagaan dan pengurusan koleksi yang banyak itu, Jian Wen memberitahu bahawa suhu bilik khas itu perlu sejuk bagi mengelakkan air di dalam tin dan botol daripada meruap dan akhirnya meletup.

“Sudah beberapa kali insiden letupan berlaku disebabkan cuaca panas. Jadi, kami akan membiarkan penyaman udara terpasang di dalam bilik ini selama beberapa jam setiap hari.

“Tipu jika tidak rasa sedih melihat tin jadi kemek atau botol yang sumbing tetapi kami anggap itu sebagai cabaran,” katanya.

Jian Wen yang menguruskan perniagaan sendiri menyatakan keazamannya untuk membuka muzium koleksi barangan Coca-Cola terbesar yang pertama di Kedah, malah di Malaysia kelak.

“Kini saya dalam proses mengumpul duit untuk membeli rumah yang akan dijadikan muzium impian kami berdua. Saya juga akan mengkaji cara terbaik untuk memastikan muzium itu sentiasa mampu menarik kunjungan ramai,” jelasnya. Bernama