CAP: Kenapa syarikat skim permainan wang dibenarkan beroperasi?

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)  percaya bahawa  kejadian begitu ramai “pelabur” yang tertipu oleh syarikat  skim permainan wang tidak  akan menjadi begitu buruk jika Bank Negara Malaysia (BNM) mengambil langkah awal untuk menghentikan syarikat permainan wang ini.

Justeru, Presiden CAP,  S.M Mohamed Idris meminta BNM mengambil tindakan segera terhadap syarikat permainan wang terbabit, sambil meminta penjelasan BNM kerana tidak mengambil tindakan setakat ini.

Beliau berkata, syarikat  terbabit seperti JJPTR, CYL, Richway Global Venture dan BTC I-system merupakan skim permainan wang utama yang mendapat perhatian baru-baru ini tetapi untuk alasan yang salah.

Katanya, berdasarkan peruntukan Akta 758 dan dakwaan BNM di dalam laman sesawang mereka, adalah jelas bahawa aktiviti yang dijalankan oleh pengendali permainan wang ini adalah haram dan boleh didenda di bawah undang-undang ini.

Malah,  ujarnya, walaupun berstatus “haram” BNM membenarkan syarikat ini untuk terus beroperasi.

“Dakwaan lain oleh BNM dalam laman sesawang “Consumer Alert & Updates” ialah “Perlindungan pengguna di bawah undang-undang yang ditadbir oleh BNM TIDAK TERPAKAI sekiranya orang ramai memilih untuk berurusan dengan penyedia perkhidmatan kewangan yang tidak sah,” tambahnya.

Beliau berkata,  orang ramai yang terlibat dalam aktiviti kewangan yang tidak sah juga  boleh didakwa di bawah undang-undang kerana bersubahat dengan pengendali aktiviti yang tidak sah ini”.

Tetapi, katanya lagi,  syarikat itu dibenarkan untuk terus beroperasi dan kini pengguna di seluruh dunia telah mengalami kerugian terkumpul RM500 juta.

Untuk menggantikannya, beliau mengemukakan satu rancangan baharu di mana beliau menjanjikan pelabur pulangan 35% ke atas pelaburan mereka – angka yang lebih tinggi berbanding sebelum ini iaitu 20% yang bertukar menjadi tidak mampan.

“Adakah BNM akan membenarkan beliau untuk meneruskan operasi haramnya itu?,” kata Mohamed Idris.

“Kami mendapati amat mengejutkan sekali bahawa dinyatakan juga pada laman sesawang “Consumer Alert & Updates” BNM terdapat “Financial Consumer Alert” untuk memberi amaran kepada ahli syarikat awam dan laman sesawang yang dibenarkan mahupun yang diluluskan di bawah peraturan dan undang-undang yang berkaitan yang ditadbir oleh BNM,” katanya dalam satu kenyataan.

“Jadi kita perlu bertanya, kenapa syarikat ini dibenarkan untuk menjalankan operasi haram mereka dan kenapa pengguna diberikan pilihan untuk berurusan dalam aktiviti kewangan haram ini oleh pihak berkuasa seperti BNM?,” ujarnya.

Menurut Mohamed Idris,  hakikat  bahawa syarikat ini berada dalam senarai BNM menunjukkan mereka mengetahui bahawa syarikat ini menyediakan aktiviti kewangan haram.

“Kenyataan oleh BNM berhubung JJPTR, CAP mendapati membingungkan apabila ia (BNM) hanya akan menyiasat syarikat itu sebaik sahaja laporan dibuat. Kenapa mereka terpaksa menunggu untuk laporan dibuat oleh orang ramai apabila mereka sendiri sudah pun mengisytiharkan bahawa syarikat itu menjalankan aktiviti kewangan haram?,” katanya.

“Kami memahami bahawa salah satu fungsi badan seperti BNM ialah untuk melindungi kepentingan awam. Adakah kita salah? Kenapa mereka hanya melihat mereka yang ditipu dan kemudiannya hanya mengambil tindakan apabila seseorang mengadu ditipu?,” tambahnya. – Sarawakvoice