Buku ilmiah pupuk jalinan kesarjanaan universiti Sarawak dan Indonesia

KUCHING: UNIMAS Publisher dan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak telah mengadakan kunjungan hormat ke Konsul Jeneral Republik Indonesia (KJRI) hari ini.

Kunjungan hormat serta upacara penyerahan buku ini bukan sahaja dilihat sebagai mengukuhkan hubungan kesarjanaan dalam kalangan ahli cendekiawan, tetapi juga sebagai landasan untuk memperkenalkan jenama UNIMAS di republik berkenaan.

Delegasi UNIMAS Publisher yang dipimpin oleh pensyarah kanan di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, FSS, Dr. Elena Gregoria Chai Chin Fern dan wakil UNIMAS Publisher, Puan Sabrina Mahili telah disambut oleh Konsul General Republik Indonesia Drs. Jahar Gultom dan Konsul Muda Cik Ringgi Perdini.

Foto Willy B Makoto

Tujuan utama kunjungan ini adalah penyerahan rasmi buku karya asli Dr. Elena Gregoria Chai Chin Fern bertajuk, “Of Temple And Tatung Tradition In Singkawang” terbitan UNIMAS Publisher.

Buku yang dihasilkan melalui penyelidikan selama lapan bulan bersama Beijing University of Foreign Studies di bawah tajaan program “One Belt, One Road” kerajaan China. Buku ini memaparkan adat tradisi budaya Cina melalui tokong dan upacara serta perarakan yang melibatkan tatung ataupun spirit mediums di Singkawang, Kalimantan Barat, Indonesia.

Perarakan beratusan tatung ataupun spirit mediums diadakan sekali setahun iaitu hari ke 15 Tahun Baru Cina atau dikenali sebagai Cap Go Meh. Bilangan pelawat mencecah 100,000 orang setiap tahun sejak perarakan ini diiktiraf sebagai ‘national tourism event of Indonesia’.

Buku yang ditulis oleh Dr Elena Chai ini menjelaskan asal usul tradisi tatung dan juga upacara yang berhubung kait. Kota Seribu Kelenteng ini mempunyai budaya dan tradisi yang amat unik yang telah menerapkan banyak unsur tempatan termasuk kepercayaan kaum Dayak. Kerohanian dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di bandar yang berpopulasi 200,000 ini ditampilkan dengan tokong Cina yang berdampingan sebelahan masjid dan gereja.

Buku ini adalah pertama seumpamanya diterbitkan di rantau Asia Tenggara / Borneo. Buku ini sedang diterjemahkan ke Bahasa Cina oleh pihak Beijing University of Foreign Studies. Penterjemahan ke dalam Bahasa Indonesia pula oleh mantan walikota Singkawang, Dr Hasan Karman. Kedua dua buku akan diterbitkan pada tahun ini untuk membolehkan lebih ramai di Indonesia dan China mengetahui mendalam lagi berkenaan tradisi dan budaya orang Cina, dan juga kota Singkawang.

Tambah penulis buku tersebut, dengan adanya kunjungan hormat dan upacara penyerahan buku ini, hubungan kesarjanaan antara UNIMAS dan universiti awam di republik berkenaan diharap akan menjadi lebih kukuh dan berupaya menyumbang balik kepada masyarakat.

Bersempena dengan kunjungan hormat ini juga, wakil UNIMAS Publisher mengambil kesempatan menguar-uarkan penganjuran International Conference on Borneo Books Publishing & Borneo Book Fair pada 11-13 Oktober 2017. Persidangan anjuran bersama Majlis Penerbitan Ilmiah Malaysia (MAPIM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka, DBP ini bakal mengumpulkan pengamal industri buku sekitar kepulauan Borneo terutamanya Indonesia dan Brunei. Mengangkat tema, “Contesting and Advancing Knowledge in Borneo Academic Publishing”, persidangan tersebut mensasarkan kehadiran 500 peserta dari seluruh negara dan antarabangsa.

Beliau turut merakamkan penghargaan atas kerjasama yang diberikan oleh pihak KJRI di Kuching selaras dengan usaha kedua-dua negara dalam memartabatkan penerbitan ilmiah.

Foto Singkawang Tour