BN sentiasa komited laksana pembangunan, bantu rakyat

BATANG SADONG: Kerajaan Barisan Nasional (BN) komited memastikan rakyat tanpa mengira kaum di negeri ini, tidak ketinggalan menikmati pembangunan dengan memberi peruntukan bagi melaksanakan projek penambahbaikan kemudahan infrastruktur dan meningkatkan ekonomi.

Ahli Parlimen Batang Sadong, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, setiap kali turun padang bertemu rakyat, pemimpin BN tidak pernah lupa menghulurkan buah tangan bagi memenuhi janji untuk membantu rakyat, selain tanda terima kasih kerana setia menyokong kerajaan selama ini.

Beliau yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, dalam kunjungan ke Kampung Sungai Kambai terletak di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau di sini kali ini, pihaknya mengambil kesempatan menyerahkan sumbangan kepada 16 penduduk terdiri daripada orang kurang upaya (OKU), warga emas dan pesakit yang memerlukan kerusi roda.

“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengumumkan tiga berita gembira iaitu kerajaan telah bersetuju meluluskan peruntukan RM100,000 untuk membaik pulih Dewan Orang Ramai dan gereja (RM15,000) serta RM5,000 membiayai aktiviti Persatuan Perkumpulan Wanita Kampung Kambai,” katanya dalam ucapan semasa menghadiri Majlis Mantar Gawai dan Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Batang Lupar di Rumah Panjang Andrew Chuling di sini, baru-baru ini.

Menurut Rohani, Mesyuarat Majlis Pembangunan Pertanian Parlimen Batang Lupar turut memaklumkan beberapa perancangan dan kelulusan peruntukan untuk pelbagai projek pertanian di kampung berkenaan.

Beliau berkata, disebabkan Kampung Sungai Kambai terkenal dengan tanaman nanas, maka agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Asas Tani terdiri daripada Jabatan Pertanian Samarahan dan Lembaga Nanas Sarawak bersetuju memperuntukkan sejumlah dana untuk membangunkan secara pesat tanaman itu di kawasan berkenaan.

Katanya, para petani di kampung tersebut juga digalakkan merebut peluang untuk menceburkan diri dalam dua tanaman baharu iaitu durian musang king dan kelapa mantak yang mendapat permintaan tinggi di pasaran.

“Saya minta golongan muda di Kampung Sungai Kambai dan kampungkampung lain di DUN Sebuyau agar merebut peluang ini khususnya usahawan tani berusia 40 tahun ke bawah.

“Bagi saya, ini satu program yang dapat membantu meningkatkan pendapatan penduduk tempatan terdiri daripada masyarakat Iban di sini. Setakat ini, saya gembira dengan sambutan diterima daripada penduduk dan berharap mereka terus berusaha dalam meningkatkan hasil tanaman serta tidak melepaskan peluang yang disediakan oleh kerajaan BN,” ujarnya.