Anjung Kasih bantu keluarga pesakit jimat RM80 hingga RM100 sehari

KUCHING: Perkhidmatan Anjung Kasih Yayasan Kebajikan Negara (Anjung Kasih) berjaya menjimatkan kos perbelanjaan keluarga pesakit yang menggunakan kemudahan percuma itu antara RM80 hingga RM100 sehari berbanding menginap di rumah tumpangan atau hotel.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim berkata, melihat manfaat diperoleh itu, pihaknya berhasrat mewujudkan lebih banyak Anjung Kasih bagi meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan menemani ahli keluarga yang sakit di hospital.

Beliau berkata, setakat ini, terdapat lapan Anjung Kasih ditubuhkan di negara ini iaitu di Hospital Selayang, Selangor, Hospital Tengku Ampuan Afzan dan Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Pahang), Hospital Tuanku Ja’afar (Negeri Sembilan), Hospital Raja Permaisuri Bainun (Perak) serta Hospital Miri, Sibu dan Hospital Umum Sarawak (Sarawak).

“Sambutan terhadap perkhidmatan disediakan di Anjung Kasih terbabit cukup menggalakkan apabila terdapat 34,813 orang mengginap di situ setakat Mac lalu.

“Kita berhasrat mahu menambah perkhidmatan ini tetapi berdepan dengan masalah kewangan ekoran keadaan ekonomi semasa, sedangkan kos sekitar RM1 hingga RM1.5 juta diperlukan untuk membina pusat penginapan tersebut.

“Sehubungan itu, kementerian menggunakan konsep tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi meneruskan usaha pembinaan Anjung Kasih di hospital lain yang belum mempunyai perkhidmatan ini,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Anjung Kasih Hospital Umum Sarawak (HUS) yang dirasmikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Abdul Taib Mahmud di sini, baru baru ini.

Yang turut hadir, isteri Yang Dipertua Negeri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar; Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti negeri, Datuk Fatimah Abdullah dan Menteri Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Prof. Dr. Sim Kui Hian.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Dr. Rose Lena Lazemi; Pengerusi Jawatankuasa Anjung Kasih, Datuk Seri Prof. Dr. Abu Hassan Asaari Abdullah dan Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Jamilah Hashim.

Pada majlis itu, Abdul Taib turut menyampaikan sumbangan RM100,000 kepada Anjung Kasih HUS sebagai inisiatif bagi membantu rakyat. Mengulas lanjut, Rohani berkata, sebanyak 14 hospital di seluruh negara ada memohon kepada kementerian untuk membina Anjung Kasih.

“Dua Anjung Kasih baharu akan dibuka di Hospital Serdang, Selangor dan Hospital Duchess Of Kent, Sandakan di Sabah yang masing-masing pembinaannya mendapat kerjasama syarikat Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta Petroliam Nasional Bhd. (Petronas),” katanya.