Adam: Rafizi, mana wang yang dikutip daripada orang ramai?

KUALA LUMPUR: Ketua AMK Ampang, Datuk Adam Rosly  menyatakan kini beliau sudah tidak lagi boleh berdiam diri, malah sudah hilang sabar dengan gelagat Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Dalam satu kenyataan Adam berkata, beliau dan beberapa pemimpin parti telah lama bersabar dengan Rafizi bagi memelihara perpaduan dan reputasi PKR.

“Bagaimanapun, demi kepentingan parti dan orang ramai, saya tidak boleh berdiam diri lagi,” katanya.

Kata Datuk muda  yang terjebak dalam kontroversi kerana membeli rumah mewah baru-baru ini, beliau kini tidak lagi boleh mendiamkan diri berhubung kutipan dana besar-besaran daripada orang ramai bagi pihak Rafizi untuk Invoke dan NOW.

“Ini koleksi wang daripada orang awam secara berterusan,” tegasnya dalam satu kenyataan.

Menurut Adam lagi, adalah aneh apabila Ahli Parlimen Pandan itu gagal mendedahkan butiran pengumpulan dana tersebut, walaupun beliau sering menyeru semua pihak, iaitu BN dan pembangkang, untuk mengisytiharkan aset mereka.

Justeru tegas Adam, beliau menggesa Rafizi mendedahkan dalam masa 48 jam bermula hari ini berkaitan isu berkenaan.

Ujarnya, Rafizi juga perlu menyatakan bagaimana wang telah dibayar setakat ini serta mendedahkan nama semua individu yang telah menerima dana yang dikumpul oleh Invoke.

“Sekiranya Rafizi  gagal mematuhi tuntutan ini , saya akan mengambil tindakan sewajarnya,”’ kata beliau lagi. – Sarawakvoice