TI-M: Elak politik wang dalam PRU-14

KUALA LUMPUR: Semua parti politik  yang terbabit dalam kempen pilihan raya umum (PRU) akan datang diseru supaya mengamalkan sikap bersih dan adil dan tidak perlu bertolak ansur dengan politik wang.

Integriti dan keadilan dalam kempen pilihan raya penting bagi memastikan rasuah tidak merosakkan kredibiliti keseluruhan pilihan raya, sekali gus menjejaskan proses demokrasi, kata Presiden Transparency International – Malaysia (TI-M).

Datuk Akhbar Satar berkata, salah guna kuasa yang membabitkan pilih kasih, nepotisme dan konflik kepentingan dalam penganugerahan konsesi kerajaan, pembayaran kontrak, projek adhoc, lesen, saham dana pembangunan dan faedah lain juga perlu dihentikan.

“Akan wujud risiko rasuah dalam proses pilihan raya termasuk kepada pengundi. Seharusnya tidak perlu bertoleransi dengan politik wang,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurut Akhbar, ahli politik perlu menunjukkan komitmen ke arah prinsip kebenaran, integriti, akauntabiliti dan tingkah laku beretika dalam tempoh pilihan raya dan selepas mengundi. 

“Mereka harus elak politik wang dan sebarang isu lain yang boleh menjejaskan keharmonian negara yang berbilang kaum,” ujarnya. 

Menurut  Akta Kesalahan Pilihan Raya 1958, had perbelanjaan kempen bagi setiap calon ialah RM200, 000 bagi pilihan raya persekutuan, dan RM100,000 untuk pilihan raya negeri. 

“Oleh itu, tidak ada kewajipan bagi calon untuk mendedahkan apa-apa pendapatan atau perbelanjaan di luar tempoh kempen ini. 

“Soalnya, daripada manakah wang kempen ini datang dan berapa banyak sebenarnya yang dibelanjakan oleh setiap calon?,” katanya lagi. – Sarawakvoice