Sentiasa pinda dan perkemas undang-undang untuk tangani jenayah seksual kanak-kanak – Fatimah

KUCHING: Undang-undang negara perlu dipinda dan diperkemas bagi memastikan setiap pelaku jenayah seksual di negara ini mendapat tindakan sewajarnya.

Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat, Datuk Fatimah Abdullah berkata, langkah kerajaan menguatkuasakan Rang Undang-undang Kesalahan-kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak 2017 merupakan salah satu daripada usaha penting ini.

“Ia selari dengan perkembangan dunia terkini dengan menyaksikan perkembangan ICT yang semakin maju dan pelaku jenayah seks yang semakin kreatif.

“Kerana itu kita perlukan undang-undang yang bukan statik, malah komprehensif untuk melindungi anak-anak kita.”

Katanya, penting untuk pelaku dibawa ke muka pengadilan, didakwa dan dihukum setelah disabit dengan hukuman.

Beliau merujuk kepada kes “rogol jari” apabila seorang pedofil terlepas daripada tuduhan merogol pada tahun 2011 kerana kononnya, melakukan pemerkosaan terhadap alat sulit mangsanya dengan menggunakan jari.

Lebih menyedihkan, mangsa sehingga bunting dan melahirkan anak selepas insiden tersebut, dan pelakunya bebas.

Bagaimanapun selepas pindaan terhadap rang undang-undang tersebut, pada Selasa lalu seorang warga emas berjaya disabitkan dengan kesalahan yang sama, rogol menggunakan jari di Kampung Samariang Batu di sini, hingga akhirnya dijatuhi hukuman penjara 15 tahun.

Pedofil berusia 67 tahun itu melakukan perkara menjijikkan tersebut terhadap kanak-kanak berusia 9 tahun, hingga menyebabkannya kesakitan membuang air kecil.

Kerana pelakunya rata-rata mereka yang dikenali, Fatimah menyeru ibu bapa perlu mengambil langkah proaktif dan mengajarkan anak-anak mereka apa yang patut berkaitan “seksual”.

Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mazlan Mansor berkata, pihaknya mengalu-alukan hukuman tersebut.

Sekurang-kurangnya berlaku tindakan pencegahan dan menjadi pengajaran kepada pedofil lain.

Lelaki warga emas yang dikenali sebagai Uncle Liu dihukum penjara 15 tahun atas dua kesalahan merogol seorang kanak-kanak berusia 9 tahun 7 bulan dengan menggunakan jari. – Sarawakvoice