Sarawak bentang anyaman tikar terbesar dunia

KUCHING: Sarawak membentangkan tikar anyaman terbesar dunia di Panggung Udara Taman Budaya di sini semalam sebagai isyarat simbolik mengalu-alukan kedatangan tetamu ke Festival dan Anugerah Filem Antarabangsa ASEAN (AIFFA) 2017 yang bermula hari ini.

Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata tikar anyaman itu menjadi simbol bagi masyarakat tempatan di Sarawak untuk menyambut kedatangan tetamu dengan penuh keikhlasan dan setinggi-tinggi penghormatan.

Beliau berkata inisiatif oleh kira-kira 400 wanita daripada komuniti Orang Ulu di Baram, Bakun dan Murum di pedalaman Sarawak untuk menghasilkan tikar itu mendapat pengiktirafan Guinness Book of World Records sekitar Mei tahun lepas.

Pengiktirafan ini, katanya, memberi kegembiraan dan menjadi kebanggaan kepada negeri ini, oleh itu perlu diketengahkan serta dikongsi bersama tetamu.

“Usaha mereka perlu menjadi inspirasi kepada semua penduduk di Sarawak, suatu bukti bahawa segala-galanya boleh dicapai asalkan ada semangat dan kesepakatan antara kita,” katanya pada majlis pra pelancaran AIFFA di Taman Budaya di sini semalam.

AIFFA yang berlangsung tiga hari mulai esok, merupakan pertandingan dwitahunan bagi pembikin filem dari negara ASEAN, mendapat pengiktirafan Sekretariat ASEAN sebagai satu daripada aktiviti bersama bagi perkumpulan serantau ini, dengan diadili oleh juri antarabangsa dan dari negara ASEAN.

Pada hari kedua festival itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia  Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dijangka melancarkan AIFFA Biz World, iaitu sesi rangkaian perniagaan dan pameran yang akan memberi manfaat kepada banyak komuniti peniagaan ASEAN serta penggiat filem.

Sementara itu, seorang daripada penganyam tikar yang ditemui pada majlis itu, Siah Taja, 60, berkata kira-kira 400 wanita daripada tiga suku kaum di kawasan pedalaman Sarawak mengambil masa lebih tiga bulan untuk menyiapkan tikar rotan sepanjang 1,128.272m dan lebar kira-kira 70cm itu.

Wanita daripada etnik Kayan itu berkata dia dimaklumkan oleh penaja projek anyaman tikar berkenaan, Sarawak Energy Bhd, bahawa rekod sebelum ini dipegang oleh sekumpulan penganyam dari Sweden yang menghasilkan tikar sepanjang 797.51m pada tahun 2010.

Kata Siah, dia amat berbangga kerana tikar yang baru dibawa keluar dari kawasan pedalaman Belaga sekitar minggu lepas itu akan dijadikan sebagai simbol khusus bagi mengalu-alukan kehadiran pelawat asing ke Sarawak.

Seorang lagi wanita daripada etnik Kenyah pula, Ama Langat, 62, berkata bahagian paling sukar dalam menghasilkan tikar itu adalah dari segi mendapatkan, mengangkut dan menyiat rotan dari hutan rimba untuk dianyam.

Katanya proses anyaman dilaksanakan tanpa henti secara bergilir-gilir untuk menyiapkan tikar itu,  dan menurutnya, setiap corak di atas tikar itu mempunyai makna tersendiri bagi setiap etnik yang menganyamnya. Bernama