Pendaftaran sertai Bazar Ramadan DBKU di Satok, Semarak Khamis depan

KUCHING: Sempena Ramadan 1438H, hujung Mei ini, Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) menyediakan tapak jualan atau Bazar Ramadan di dua kawasan iaitu Satok dan Semarak.

Menurut kenyataan media DBKU, proses pendaftaran awal diadakan 11 Mei, Khamis depan di Stadium Perpaduan, Jalan Stadium, Kuching bermula 8.30 pagi.

Semua pemohon diminta membawa dokumen; i. dua keping gambar berukuran pasport, ii. satu salinan kad pengenalan, iii. sijil kursus pengendalian makanan, iv. laporan pemeriksaan kesihatan berserta suntikan tifoid (vaksin kapialu) dan v. yuran pembayaran tunai.

Untuk tahun ini dua tapak disediakan.

Di Bazar Ramadan Satok, bagi kategori jualan ayam atau ikan panggang dikenakan kadar caj RM450 dan penjualan pelbagai makanan, minuman serta kuih-muih (RM400).

Sementara, di Bazar Ramadan Semarak mengenakan kadar bayaran RM400 bagi kategori jualan ayam atau ikan panggang, manakala RM340 bagi jualan pelbagai makanan, minuman dan kuih-muih.

Semua pemohon yang berjaya ditawarkan petak niaga dikehendaki menghadiri sesi taklimat dan pengundian pada 17 Mei 2017 (Rabu) bermula 9 pagi di Auditorium DBKU, ibu pejabat DBKU, Bukit Siol, Jalan Semariang, Kuching.

Bilangan permit yang dikeluarkan terhad berdasarkan kepada petak yang disediakan dan kelewatan tidak dilayan.

Kenyataan tersebut menggariskan syarat berikut untuk dipatuhi oleh peniaga yang sudah mendapat petak berniaga Bazar Ramadan:

i. Tempoh Bazar Ramadan dari 27 Mei hingga  24 Jun 2017 (1 Ramadan-29 Ramadan). Selepas tamat tempoh jualan iaitu satu hari sebelum Aidilfitri, semua penjaja dikehendaki mengosongkan tempat jualan serta memastikan barang perniagaan tidak ditinggalkan di tapak niaga lagi bagi memudahkan kontraktor DBKU menurunkan khemah serta membersihkan tapak tersebut.

ii. Pelesen dan pekerja (pembantu) hendaklah menjalani pemeriksaan kesihatan, mendapatkan suntikan pelalian tifoid serta disahkan sihat oleh Pegawai Perubatan Kerajaan/ Swasta serta menjalani Kursus Pengendalian Makanan di Sekolah Latihan Pengendali Makanan yang diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

3. Penjaja perlu mendapatkan kelulusan DBKU jika ingin mengubah jenis jualan mereka.

4. Penjaja yang berdaftar tidak boleh menyewa semula petak kepada orang lain.

5. Penjaja tanpa permit dilarang berniaga di kawasan tapak tersebut. Tindakan penguatkuasaan diambil terhadap penjaja yang enggan mematuhi arahan.

6. Penjaja yang menjual pelbagai makanan dikehendaki menjaga kebersihan sepanjang masa bagi memastikan makanan yang dijual dalam keadaan tertutup, bersih dan selamat. Penjaja juga dimestikan berpakaian kemas, memakai apron, penutup kepala dan sarung tangan.

7. DBKU mengambil contoh makanan untuk tujuan analisa bagi memastikan makanan yang dijual kepada orang awam selamat.

8. Peniaga dilarang menggunakan bekas styrofoam (gabus) untuk menyimpan makanan.

Bagi yang berminat berniaga di Bazar Ramadan Satok dan Semarak, sila hubungi Bahagian Pelesenan DBKU di talian 082–234654/ 082–234657.

Sementara, bagi yang mahu berniaga di Bazar Ramadan Sukma Ria, sila hubungi Koperasi Usahasama Kuching Berhad di talian 013-8110441 dan 016-8873080. – Sarawakvoice