Naib Presiden Pas: Sokongan Pas kepada BN bukan membuta tuli

KUALA LUMPUR: Pemimpin Pas meminta supaya parti Islam itu tidak diberi dengan pelbagai label hanya kerana  tidak mengikut telunjuk pihak tertentu.

Naib Presidennya, Idris Ahmad berkata, kalaupun ia menyokong kerajaan Barisan Nasional, sokongan itu bukan membuta tuli, sambil merujuk kepada RUU kesalahan jenayah seksual kanak-kanak.

“Pas tidak menyokong secara membuta tuli dan membangkang membuta tuli. Islam panduan Pas,” katanya dalam satu kenyataan.

“Ini pendirian Pas, jelas dan terang. Kebenaran kawan Pas, kebatilan musuh Pas walau pun siapa yang bawa,” ujarnya.

Katanya: “Pas adalah Pas. Tidak perlulah hendak label Pas dengan macam-macam jenama apabila tidak ikut telunjuk mereka. Makan dedak, penasihat bergaji, UG, candu wala’, terbaru pula sesat politik.”

Menurut Idris, Pas tidak pernah paksa org lain, sebaliknya Pas hanya terang apa yang Islam perintah.

“Terima alhamdulillah, tolak pun alhamdulillah. Kami pendokong Pas yakin apa yang Pas pejuang akan diterima satu hari nanti,” tambahnya.

“Cuma cepat atau lambat sahaja. Orang yang sabar sahaja boleh bersama dengan Pas. Golongan musta’jilun (gelojoh) tidak boleh bersama Pas. Kerana Pas tidak mempunyai lampu ajaib,” katanya.

“Pas hanya menceritakan Islam. Perjuangan Pas ada kaitan mati dan selepas mati.  Orang lain hendak cerita fasal lain, ini urusan mereka. Pas yakin masa depan dunia sejahtera bersama Islam,” katanya lagi. – Sarawakvoice