KUALA LUMPUR: Di sebalik pelbagai kritikan dan sindiran dilemparkan terhadap Madrasah Tahfiz al-Jauhar (MTAJ), susulan peristiwa seorang pelajar dipukul dengan getah paip, madrasah terbabit melalui Facebook rasmi semalam menangkis dan menjawab pelbagai tuduhan yang dilemparkan terhadapnya.

Jemaah Pengurusan MTAJ menyatakan, tindakan pembantu warden yang memukul pelajar menggunakan getah paip tidak boleh dijadikan alasan untuk mencemuh pusat pengajian Islam secara keseluruhannya.

Mengenai kematian Allahyarham Mohamad Thaqif Amin Gaddafi, MTAJ berkata, tidak ada sebab mengapa pihaknya perlu mendera pelajar itu.

“MTAJ ada pendirian untuk tidak pertahankan perkara salah lebih awal sebelum tuan puan mengikuti perkembangan kes ini,” kata kenyataan itu lagi.

“Kami tidak mempertahankan pembantu warden berkenaan, malah bersetuju supaya hukuman dikenakan jika disabitkan kesalahan di mahkamah,” katanya.

“Kita semua jelas apa pendirian Islam tentang menghukum seseorang. Begitulah dalam konteks kes ini, apalagi untuk disalahkan madrasah lain,” ujarnya.

Penjelasan berkenaan bertujuan memaklumkan tentang kemudahan, pengkitirafan dan sebagainya bagi mengelakkan orang ramai mendapat input yang salah tentang madrasah itu.

Katanya, penggunaan getah paip bukanlah keputusan mesyuarat atau menjadi tatacara operasi standard (SOP) mereka untuk mengambil tindakan disiplin.

“MTAJ mempunyai lebih 80 pelajar melebihi tempoh satu tahun yang mungkin sedikit antara mereka ada masalah lebih besar dari sudut disiplin dan sahsiah,” tambah kenyataan itu. – Sarawakvoice