Lagi lelaki ditemui mati, kali ini di Pusat Komersial Demak Laut

KUCHING: Seorang lelaki ditemui mati dalam keadaan terlentang dengan hanya memakai seluar dalam di tingkat 3, Pusat Komersial Demak Laut dekat sini pagi semalam.

Mayat dijumpai orang awam yang kemudian bertindak memaklumkan polis sekitar jam 7 pagi.

Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Abang Ahmad Abang Julai berkata, mangsa ditemui di bahagian belakang koridor biliknya dan dipercayai memiliki sejarah kesihatan yang kronik.

“Ketika ini siasatan menjurus kepada mati mengejut kerana tiada unsur-unsur jenayah dikesan.

“Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Umum Sarawak untuk proses autopsi.

Mangsa kata Abang Ahmad, dikenal pasti sebagai Mexson Malina, 29 tahun dari Rumah Malina, Sepupok Ulu, Batu Niah, Miri.

Mexson bertugas sebagai penjaga stor di Perbadanan Limbungan dan Kejuruteraan Brooke di Sejingkat di bawah syarikat Maya Lyess Resources (M) Sdn Bhd. – Sarawakvoice