Kabinet India lulus perjanjian beli baja dari Malaysia

NEW DELHI: Kabinet India meluluskan perjanjian memorandum persefahaman (MoU) baru-baru ini untuk membeli baja dari Malaysia.

Di bawah perjanjian yang dimeterai semasa kunjungan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke New Delhi, India akan membeli pengeluaran urea dan ammonia daripada kilang yang akan dibangunkan oleh konsortium Malaysia yang dianggotai Isomeric Holding Sdn Bhd dan Edra Power Holdings Sdn Bhd di Melaka.

Kabinet India telah memberikan kelulusan kepada permeteraian MoU dengan Malaysia bagi membangunkan kilang itu, demikian menurut satu kenyataan daripada kerajaan pada Rabu.

Projek itu dijangka menelan kos US$ 2.1 bilion dengan kapasiti tahunan mengeluarkan 2.4 juta tan metrik urea dan 1.35 tan metrik ammonia.

Kilang Malaysia itu akan memastikan bekalan baja khusus ke India, yang mengimport tujuh hingga lapan juta tan metrik urea setahun kerana pengeluaran tempatan yang berjumlah kira-kira 24 juta tan metrik tidak mencukupi untuk menampung permintaan domestik. Bernama