Jual tanah wakaf masjid, lagi lelaki terlibat ditangkap

MELAKA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Melaka hari ini menahan seorang lelaki yang disyaki terlibat dalam urusan jual beli tanah wakaf milik Masjid Al-Hamideen di sini.

Individu berusia 66 tahun yang merupakan pembeli tanah berkenaan ditahan di pejabat SPRM Negeri Melaka pada jam 12.15 tengah hari tadi bagi membantu siasatan.

Penahanan ini kata sumber SPRM, merupakan hasil siasatan lanjut berkaitan kes tangkapan dua individu sebelum ini yang terlibat dalam kes rasuah dan urusan jual beli tanah wakaf berkenaan.

Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta SPRM 2009.

Pengarah Siasatan SPRM, Dato Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata suspek akan direman esok untuk membantu siasatan kes. – Sarawakvoice