Hidupkan budaya lama, ingat asal-usul – Wahab Aziz

SARATOK: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.38 Kalaka, Datuk Haji Abdul Wahab Aziz menggesa penduduk di sini agar terus memullihara dan mengekalkan budaya tradisi masyarakat yang telah diwarisi sejak turun-temurun bagi memastikan ia tidak lenyap ditelan arus pemodenan masa kini.

Menurut Wahab, mengekalkan budaya akan menjadikan masyarakat mengingati asal-usul dan mengelakkan masyarakat daripada lupa diri dan cenderung kepada budaya asing yang tidak menjurus kepada pembentukan jati diri masyarakat Melayu.

Wahab berkata demikian ketika berucap merasmikan pertandingan pakaian tradisi pengantin melayu yang berlangsung di sini.

“Saya harap persatuan ataupun pertubuhan di peringkat komuniti bergerak aktif dan sentiasa peka akan perkara berkaitan memulihara khazanah budaya bangsa, kebajikan serta perpaduan di kawasan masing-masing.

“Persatuan atau pertubuhan yang aktif akan membawa impak positif kepada komuniti serta mampu memacu kampung ke arah yang lebih berdaya saing dan berdaya maju.

“Jangan biarkan persatuan atau pertubuhan itu hanya wujud pada nama sahaja dan sekadar mewujudkan carta organisasi di dinding semata-mata. Persatuan yang aktif akan mampu memperoleh dana ataupun sumbangan untuk penganjuran pelbagai aktiviti di peringkat kampung terlibat,” ujarnya.

Pertandingan tersebut dianjurkan oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Melango Lama Hulu Saratok.

Dalam pertandingan itu, pasangan peserta yang mewakili KRT Kampung Melago Lama Hulu Saratok muncul sebagai juara.

Johan pertandingan membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM350 beserta piala.

Sebanyak lima pasangan yang menggayakan busana pengantin tradisional mengambil bahagian semasa berlangsung pertandingan.

Pengerusi Penganjur, Haji Abang Ali Abg Unus memberitahu pihaknya akan mengambil perhatian terhadap saranan wakil rakyat mereka dalam menghidupkan acara ‘main asal’ kepada generasi masa kini.

“YB Datuk Wahab menyarankan agar mainan lama seperti bermukun terus dihidupkan dan dimainkan apabila berlangsung acara di sini.

“Beliau juga mahu tradisi merenjis air mawar atau tepong tawar terus dibudayakan masyarakat supaya tidal luput d telan zaman. Insya Allah pihak kami akan mengambil perhatian serius terhadap saranan beliau,” ujarnya. – Sarawakvoice