Heboh, dua lelaki AS bertumbuk dalam pesawat Jepun

TOKYO: Sebelum ini, awal April heboh dalam berita antarabangsa berkaitan insiden seret keluar penumpang Dr David Dao dari pesawat United Airlines.

Kemudian, tular media sosial pada pertengahan April, video pramugara pesawat American Airlines mengasari penumpang seorang ibu sehingga dia menangis…

Kini tersebar video terbaru, insiden dua lelaki bertumbuk di dalam pesawat di Jepun ketika kapal terbang dalam persediaan mahu berlepas.

Russia Today pada Rabu melaporkan dua lelaki warga Amerika Syarikat bertumbuk di dalam pesawat All Nippon Airways (ANA) pada 1 April lepas.

Insiden berkenaan dirakam oleh jurufoto Corey Hour yang kebetulan menaiki pesawat yang sama berangkat dari Lapangan Terbang Antarabangsa Tokyo Narita.

Insiden pada penerbangan Tokyo-Los Angeles itu juga ikut melibatkan pramugari yang berusaha meleraikan kedua-dua lelaki berkenaan.

Hour memberitahu Washington Post, dia terdengar lelaki berbaju merah begitu emosi dan mengancam mahu membunuh lelaki berbaju hitam.

Apabila pergaduhan bermula, lelaki baju hitam meminta tolong, “seseorang tolong! Orang ini gila.”

Ketika itu, lelaki baju merah berteriak, “saya akan membunuhmu!”

Seorang pramugari datang dan menarik lelaki baju merah berkenaan.

Hour menyatakan, lelaki baju hitam itu hanya berusaha melindungi dirinya.

Tidak lama kemudian, lelaki baju merah datang semula dan cuba menyerang lelaki baju hitam.

Pramugari cuba melerai lagi pergaduhan tersebut sehingga dia sendiri turut terkena pukulan lelaki baju merah berkenaan.

Japan Today melaporkan lelaki baju merah tersebut kemudiannya, dibawa keluar dari pesawat dan ditagah pihak keselamatan.

Dalam kenyataannya, jurucakap penerbangan ANA mengesahkan kejadian tersebut yang tidak diberitahu puncanya.

Mereka menyokong tindakan tegas diambil menahan lelaki berkenaan. – Sarawakvoice