Amanah sambut baik cadangan Pemangku Raja Pahang

KUALA LUMPUR: Parti Amanah Negara Negeri Pahang menyambut baik cadangan Pemangku Raja Pahang, Tengku Abdullah Al-Haj Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan menyifatkannya sangat wajar diterap dan diselaraskan dalam semua Jemaah Pengampunan seluruh negara.

Baginda mencadangkan Jemaah Pengampunan daripada keluarga mangsa.

Menurut  Pengerusi Amanah Pahang, Dr Hamzah Jaaffar, pelaksanaan cadangan tersebut bukan sahaja memberi ruang kepada pesalah untuk memperbaiki kesilapan, malah memberi hak kepada keluarga mangsa yang terkesan dengan perilaku jenayah yang menimpa orang yang disayangi.

Dr Hamzah Jaaffar

“Secara tidak langsung mampu mengurangkan perasaan dendam dan permusuhan di antara pesalah dan keluarga mangsa,” katanya.

“Amanah Pahang percaya melalui pilihan sama ada meneruskan hukuman yang telah disabitkan kesalahan ataupun memaafkan dan menerima diyat (ganti rugi), lebih menepati tujuan syariat atau maqasid syariah,” katanya dalam satu kenyataan.

Ujarnya, cadangan tersebut memperlihatkan kebijaksanaan Tengku Mahkota Tengku Abdullah dalam melaksanakan ketetapan syariat Islam dengan mengambil kira situasi dan realiti semasa.

Beliau berkata, Amanah Pahang yakin bahawa ia bakal menyerlahkan lagi keindahan Islam kepada masyarakat bukan Islam di negara ini.

Untuk itu, tambahnya, bersesuaian dengan prinsip Islam sebagai agama rahmat untuk semua (“rahmatulil alameen”), Amanah Pahang mencadangkan agar masyarakat bukan Islam juga turut dilibatkan dalam proses perundangan seperti ini.

Hal ini, katanya, kerana ia selari dengan sistem perundangan Islam yang adil untuk semua, tanpa mengira sempadan agama atau kaum. – Sarawakvoice