38 kes rogol, 13 cabul dan 3 liwat di Sarawak sehingga April lalu – Dev

KUCHING: Sejumlah 38 kes rogol, 13 cabul kehormatan dan tiga kes liwat melibatkan kanak-kanak direkodkan di negeri Sarawak sepanjang empat bulan pertama tahun ini.

Menurut Ketua Siasatan Jenayah Negeri , Datuk Dev Kumar, jumlah ini agak membimbangkan biarpun jumlah keseluruhan kes pada tahun lalu menurun berbanding tahun sebelumnya.

“Pada tahun 2016, jumlah kes rogol membabitkan kanak-kanak adalah sebanyak 123 kes berbanding 129 kes pada tahun sebelumnya.

“Kes cabul pula adalah sebanyak 40 kes, menyamai rekod tahun sebelumnya, manakala sebanyak 13 kes liwat dicatatkan pada tahun 2016 berbanding empat kes pada 2015,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Jenayah Seksual Kanak-kanak: Definisi, Statistik, Isu dan Cabaran di Sarawak pagi tadi.

Kertas kerja tersebut dibentangkan pada Forum Jenayah Seksual Kanak-kanak 2017 Peringkat Negeri Sarawak.

Mengulas statistik tersebut, Menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Datuk Fatimah Abdullah berkata, penyelidikan lanjut mendapati bahawa kebanyakan pelaku yang melibatkan kanak-kanak berusia 12 ke 15 tahun berpunca daripada faktor suka sama suka.

“Malah ia melibatkan individu yang dikenali mangsa dan keluarga.

Katanya, biarpun ibu bapa mangsa cenderung kepada pilihan berkahwin, namun ia bukanlah sesuatu pilihan yang bijak.

“Kerana berdasarkan kajian, perkahwinan seperti ini tidak kekal.

Malah katanya, perceraian akan berlaku selepas usia perkahwinan empat ke lima tahun kerana tiada kematangan selain isu keganasan rumah tangga.

Fatimah menegaskan, biarpun berkahwin, tidak bermakna kes jenayah rogol akan gugur, kerana berkahwin dan rogol adalah dua isu berbeza. – Sarawakvoice