Taman Tunku “karam” oleh banjir kilat, dua kereta berendam air

MIRI: Selepas Kuching, Samarahan dan Sarikei, beberapa kawasan di Miri menjadi lokasi terkini banjir kilat di negeri ini malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri, Tiong Ling Hii, pihaknya menerima maklumat sekitar jam 11 malam tadi bahawa beberapa kawasan di Taman Tunku, dekat sini dinaiki air.

“Seramai tujuh anggota diatur gerak ke lokasi kejadian dari Balai Bomba dan Penyelamat Miri dengan aset lori dan kenderaan utiliti.

“Tiba 15 minit kemudian, pasukan bertindak segera dengan membuat pertanyaan kepada setiap penghuni di taman berkenaan sama ada, jika mereka memerlukan bantuan pemindahan ke tempat yang lebih tinggi.

“Sebanyak tiga keluarga seramai 10 orang kemudian setuju berpindah dan setelah berbincang dengan pihak polis, mangsa ditempatkan di tepi kedai Seven Eleven (7E) untuk sementara waktu.

Kata Ling Hii lagi, pasukan turut memberi bantuan mengalihkan dua buah kenderaan jenis Perodua Alza dan Proton Iswasa yang terperangkap dalam banjir tersebut.

Operasi tamat sekitar jam 5.45 pagi tadi. – Sarawakvoice