Pelaku kes bunuh dan bakar di Matang tersenyum selepas dihukum penjara 20 tahun

KUCHING: Seorang lelaki dijatuhkan hukuman penjara 20 tahun penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini selepas mengaku bersalah atas cubaan membunuh seorang lelaki di Matang, pada Januari lalu.

Dalam kejadian tragis tersebut, tertuduh turut membunuh tiga ahli keluarga mangsa dan membakar mereka hingga rentung.

Memandangkan kes yang begitu berat dan serius, Hakim Timothy Finlayson Joel hari ini tidak mempunyai pilihan lain kecuali menjatuhkan hukuman maksimum penjara 20 tahun terhadap tertuduh, Ulih Blukok, 42 tahun.

Lelaki yang berasal dari Rumah Kelachie, Kampung Munggu Sabun, Simunjan itu sebelumnya didakwa di bawah Seksyen 307 (1) Kanun Keseksaan oleh Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Yong Ann Nee.

Menurut Timothy, meski mangsa terselamat dalam peristiwa tragis itu, namun ia mendatangkan trauma kepadanya yang turut kehilangan ibu bapa serta menantu lelakinya secara serentak.

“Hukuman ini mesti mencerminkan kepentingan awam dan keselamatan masyarakat yang perlu dilindungi.

“Tidak ada sesiapa pun boleh mengambil tindakan dengan membelakangkan dan mengatasi undang-undang.

“Walaupun mengaku bersalah, saya tidak berfikir akan kewajaran hukuman lebih ringan diberikan kepada tertuduh kerana kesalahan itu adalah serius,” katanya.

Tertuduh menerima hukuman tersebut tanpa sebarang reaksi malah tersenyum apabila keluar dari kandang tertuduh.

Dalam kejadian pada 22 Januari itu, tertuduh telah menetak mangsa, Hassan Abdullah, 36 tahun dengan senjata parang di kepala dan tangan kanan, sekitar jam 3.30 petang.

Tertuduh turut menyebabkan kematian Daud Abdullah, 64, Noraini Abdullah, 62 dan Mohd Joe Abdullah, 25 tahun sebelum membakar mereka hingga rentung di Kampung Tumu, Batu 10, Jalan Matang, dekat sini.

Proses pendakwaan untuk kes bunuh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu masih menunggu perbicaraan, yang membawa hukuman mati jika sabit kesalahan. – Sarawakvoice

Gambar fail