Kenyataan PAS sesat gambaran kekecewaan DAP – Annuar

KOTA BHARU: Kenyataan DAP yang mendakwa PAS sesat adalah gambaran kekecewaan parti tersebut selepas gagal memerangkap PAS, kata Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa.

Annuar berkata DAP sepatutnya terlebih dahulu menilik diri sendiri sebelum mengeluarkan kenyataan tersebut kerana DAP yang sebenarnya beria-ia ingin bekerjasama dengan PAS.

“Luahan kekecewaan itu kerana DAP ingin berbaik dengan PAS sedangkan PAS sebaliknya. Itu hak PAS dan saya ucap tahniah kepada PAS kerana berani mengambil risiko berbaik dengan DAP sebelum ini walaupun mereka sudah mengetahui sejarah parti sosialis itu.

Tepatlah ramalan UMNO bahawa PAS tidak akan dapat berkawan kerana roh dan semangat sosialis DAP yang berkiblatkan Parti Tindakan Rakyat Singapura (PAP),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Larian Bendera Sempena Sambutan Ulang Tahun ke -71 UMNO di Yayasan Kemiskinan Kelantan (YKK) di sini, Rabu.

Annuar mengulas dakwaan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menganggap tindakan PAS mengisytiharkan DAP sebagai musuh utama parti itu dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan seolah-olah tindakan parti itu ingin berbaik dengan UMNO adalah sesat.

“DAP hendak tangkap keseluruhan PAS tetapi dia dapat ‘ibu kaki’ PAS dalam bentuk Amanah (Parti Amanah Negara). Kita ucap tahniah kepada PAS kerana telah memotong ibu kaki itu bagi menyelamatkan ‘betis’ dan ‘paha’ mereka. Saya yakin PAS lebih sihat sekarang,” katanya.

Annuar berkata UMNO kekal dengan pendiriannya untuk menolak DAP sejak 1964 hingga selama-lamanya selagi parti itu mendokong dasar sosialis dan perkauman.

Beliau berkata tiada sebarang halangan sepatutnya ditimbulkan dalam isu membabitkan hubungan antara PAS dan UMNO.

“Kalau sebelum ini PAS boleh berkawan dengan DAP, apa yang hendak menghalang PAS dan UMNO untuk berkawan. Apa yang penting di mana ada persamaan antara UMNO dan PAS, UMNO sedia pada bila-bila masa untuk bekerjasama” katanya.

Terdahulu, pada majlis berkenaan Ketua UMNO bahagian Kubang Kerian Datuk Seri Muhammad Abdul Ghani bersama kira-kira 300 anggotanya menyerahkan bendera UMNO kepada Annuar yang juga Ketua UMNO bahagian Ketereh di perkarangan YKK pada pukul 11 pagi selepas perarakan sejauh 10 kilometer. Bernama